Ujian Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Hafazan Peringkat DUN Satok Labuh Tirai

ISNIN, 6 MAC 2023

KUCHING: Program Ujian Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Hafazan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok tahun 2023 melabuh tirainya pada Ahad selepas berlangsung selama tiga hari di Surau Darul Qarar, Jalan Muhibbah di sini.

Majlis penangguhannya telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki.

Semasa berucap, Dato Ibrahim mengingkatkan kepada semua yang hadir terutama para belia untuk sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran agar mereka mempunyai landasan dan akidah yang teguh dan tidak terpesong dari ajaran Islam yang sebenar.

Selesai berucap, beliau menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Ujian Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Hafazan.

Johan bagi Qari dan Qariah dimenangi oleh Hamsawie Hassan dan Nur Asmah Shamsulbahri yang mana masing-masing membawa pulang sebuah piala, sijil penyertaan, wang tunai berjumlah RM1,000 serta cenderahati emas tajaan Habib Jewel.

Selain itu, johan bagi hafazan kategori rendah berumur 7 sehingga 12 tahun dirangkul oleh Al-Awwal Azshaly yang membawa pulang piala serta sijil penyertaan.

Manakala, johan hafazan kategori menengah berumur 13 sehingga 17 tahun pula berjaya dimenangi Muhd Adil Muadzam, juga membawa pulang piala dan sijil penyertaan.

Hadir sama di majlis penangguhan itu ialah Pengerusi Biro Agama PBB N8 Satok Hilmy Othman, Pemanca Kawasan Selatan Tebing Sungai Sarawak Kuching Rosli Sahari, Setiausaha Cawangan PBB N8 Satok Abdul Samat Gany, Timbalan Pengarah JAIS Abang Burhanuddin Abang Ahmad Masunie serta Pengerusi Pertandingan Ali Sujang.-Edisi UKAS

add comment