SELASA, 7 MAC 2023
KUCHING: Aktiviti ‘glamping’ mampu menggalakkan golongan belia untuk mengamalkan budaya sihat dan memberi kesedaran mengenai kebersihan alam sekitar.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dolhadi Mazuki memberitahu, aktiviti ‘glamping’ ini merupakan aktiviti yang berfaedah dalam mengisi masa lapang golongan tersebut.
Menurut beliau, anggota keluarga dan belia yang menyertai aktiviti sebegini akan dapat menghargai alam sekitar dan membina hubungan yang lebih erat antara satu sama lain.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Kuching Youth Urban Glamping Festival di sini pada Selasa.
“Program ini menyasarkan seramai 3,000 pengunjung setiap hari dan lebih daripada 10 gerai akan dibuka oleh usahawan belia tempatan,” ujarnya.
Kuching Youth Urban Glamping Festival dianjurkan oleh Kelab Belia Proaktif dan Borneo Glamping yang bakal berlangsung pada 11 hingga 12 Mac ini di AEON Mall di sini buat kali pertama di Sarawak.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dr Ripin Lamat juga akan mengadakan sesi dialog ‘Coffee Chat’ dengan para usahawan dan pengunjung bersempena dengan penganjuran festival berkenaan.
Selain itu, pelbagai aktiviti juga akan diadakan untuk meriahkan suasana seperti hiburan ‘busking’, pameran, pertandingan dan demonstrasi unit K9 oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. -EDISI UKAS