Basmi Penyakit Denggi Perlukan Usaha Kolektif

SELASA, 7 MAC 2023

SIBU: Ceramah kesihatan mengenai pencegahan denggi dapat membantu menyalurkan maklumat penting kepada orang ramai dalam menggalakkan usaha kolektif mengelak jangkitan penyakit denggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng berkata, penyebaran maklumat dapat membantu meningkatkan kesedaran tentang bahayanya demam denggi.

Tegasnya, kes denggi di kawasan Jalan Foochow di sini berubah-ubah dan memerlukan usaha bersepadu untuk membasmi wabak itu sepenuhnya.

Ujar beliau, ia sukar dihapuskan atau disingkirkan sepenuhnya sambil menambah Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerja keras dalam usaha menurunkan kes denggi di kawasan itu.

Sehubungan itu, Chieng menyeru penduduk di situ agar bekerjasama rapat dengan persatuan dan KKM, MPS dalam usaha bersama-sama memerangi denggi kerana ia boleh dicegah.

“Kita hanya perlu meluangkan masa kira-kira 10 minit seminggu memeriksa persekitaran rumah dan memastikan tiada bekas yang dapat menakung air bersih yang boleh menjadi tempat berpotensi pembiakan nyamuk aedes,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Ceramah Pencegahan Denggi anjuran Persatuan Penduduk Lorong Foochow Sibu pada Ahad.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penduduk Lorong Foochow Sibu Simon Wee menjelaskan ceramah kesihatan denggi memberi kesedaran tentang bahaya penyakit bawaan nyamuk aedes.

“Jumlah kes penyakit mengancam nyawa itu semakin meningkat di sini sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Adalah sangat penting lebih banyak program kesedaran dijalankan untuk mendidik masyarakat setempat mengenai penyakit itu kerana mencegah lebih baik daripada mengubati,” katanya. – EDISI UKAS

add comment