ISNIN, 6 MAC 2023
KUALA LUMPUR: Sebuah hospital dan tiga buah klinik kesihatan di kawasan Batang Sadong kini memerlukan perhatian segera dari pihak kerajaan Persekutuan.
Tampil menyuarakan perkara tersebut, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee memberitahu, bangunan wad pediatrik dan wad wanita di Hospital Simunjan telah mengalami keretakan akibat tanah mendap sehingga terpaksa dikosongkan.
Perkara tersebut katanya telah mengakibatkan ruang di hospital menjadi sempit dan tidak kondusif.
Sehubungan itu, beliau memohon agar kerajaan dapat membina bangunan baharu untuk kedua-dua wad berkenaan termasuk menggantikan kuaters lama di situ bagi menjamin keselamatan pesakit dan kakitangan yang bertugas.
“Kuarters sedia ada juga berada dalam keadaan usang dan memerlukan penggantian.
“Saya difahamkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai perancangan untuk membina blok tambahan dalam Rolling Plan ke-4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Jadi saya mohon projek ini disegerakan dan menjadi keutamaan pihak kementerian,”katanya semasa membahas Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Selain itu tambah Rodiyah, perkhidmatan dan infrastruktur tiga buah klinik di kawasannya juga perlu dinaik taraf dengan segera melibatkan Klinik Kesihatan Semera, Klinik Jemukan dan Klinik kesihatan Sadong Jaya.
“Klinik Kesihatan Semera telah ditutup tahun lepas. Jadi kita mohon tempat operasi sementara (kontena) dapat disediakan dengan segera sementara menunggu klinik baharu siap.
“Klinik Jemukan, bagi menggantikan bangunan kayu yang telah usang, bangunan yang rosak dan tidak ekonomi untuk dibaiki.
“Kita juga mohon untuk menaiktaraf Klinik Kesihatan di Sadong Jaya bagi menampung 12,000 populasi di sekitar kawasan,”ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau memberi cadangan supaya klinik 1Malaysia dapat dikembalikan atau diberi penjenaman semula kepada Klinik Rahmah yang memfokuskan perkhidmatan konsultansi kesihatan khusus kepada penduduk di kawasan pedalaman.
“Sekurang-kurangnya apabila ada simptom sakit yang tidak kritikal mereka mampu ke klinik tersebut tanpa perlu pergi ke hopital di pusat bandar,”-Edisi UKAS