SELASA, 7 MAC 2023
KUCHING: Jalan raya bagi Projek Jiwa Murni yang pernah dilaksanakan dahulu akan dinaiktaraf sekiranya mengalami kerosakan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, keutamaan akan diberikan kepada jalan yang tidak lagi dilalui oleh kenderaan berat yang membawa balak.
“Kita bersetuju dengan permintaan kerajaan Sarawak iaitu jalan-jalan Jiwa Murni yang pernah dilaksanakan dahulu iaitu kawasan-kawasan yang dilalui oleh pengusaha pembalakan yang telah rosak untuk dilaksanakan oleh pihak KKDW dan kerajaan Negeri.
“Kita akan memberi keutamaan kepada jalan- jalan yang tidak lagi dilalui oleh kenderaan berat pembalakan dan ini penting untuk dinaiktaraf sebagai jalan utama ke kawasan pedalaman.
“Bagi kawasan-kawasan yang masih kerap dilalui oleh pengangkutan berat ini, kita akan meletakkan sebagai keutamaan kedua.
“Yang penting, pelaksanaannya mesti dibuat sebelum perayaan Hari Krismas. Ini kita lakukan bukan saja disebabkan sambutan perayaan tetapi musim tengkujuh yang akan dialami oleh Sarawak sekiranya kita melakukannya selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan KKDW bersama Kerajaan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid menambah, sebanyak 60 keputusan telah diambil hasil dari mesyuarat koordinasi yang dipengeusikannya itu termasuk untuk menambah keterjaminan makanan.
Beliau mendedahkan, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju agar Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) bekerjasama dengan kerajaan Sarawak bagi mewujudkan ladang padi berskala besar sebagai bekalan pengunaan domestik.
“Kerajaan Sarawak akan mengumumkan perkara tersebut apabila mendapat persetujuan daripada jemaah Menteri dan pengumuman akan dibuat oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kementeriannya mengakui garis panduan yang diterima pakai oleh kerajaan Sarawak seperti prakelayakan untuk proses tender merupakan satu langkah yang terbaik.
“KKDW akan mengguna pakai garis panduan berkenaan untuk melaksanakan projek-projek di Sarawak dan juga di negeri-negeri lain.
“Ini ialah satu panduan terbaik yang tidak menimbulkan soal ketirisan projek-projek lewat yang mungkin disebabkan oleh kelayakan rendah seseorang pelaksana. Ini akan diatasi melalui penanda aras yang dilakukan,” ujar beliau lagi.
Hadir sama ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Timbalan-Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Dato Majang Renggi dan Ir. Aidel Lariwoo serta Ketua Setiausaha KKDW Dato’ Sri Ramlan Dato Harun. -EDISI UKAS