Kerajaan Sarawak Rancang Struktur Semula, Naik Taraf Mahkamah Bumiputera Sarawak

SELASA, 7 MAC 2023

MIRI: Kerajaan Sarawak sedang merancang untuk menstruktur semula dan menaik taraf Mahkamah Bumiputera Sarawak.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Jefferson Jamit Unyat, kajian yang dijalankan oleh pihak konsultan dalam hal itu telah siap dan langkah seterusnya adalah untuk memajukan rekomendasi dalam laporan kajian tersebut kepada Kabinet Sarawak.

“Saya yakin dan berharap agar kerajaan Sarawak akan meluluskan program transformasi mahkamah yang dicadangkan.

“Ini akan melibatkan satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu untuk dibentangkan kepada Dewan Undangan Negeri dan sekiranya diluluskan, RUU Ordinan Mahkamah Bumiputera yang baharu itu akan mengganti Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 sedia ada.

“Secara ringkasnya, struktur mahkamah sekarang akan distruktur semula dengan bidang kuasanya diperluaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam sempena lawatan kerjanya Mahkamah Bumiputera Bahagian Miri pada Isnin.

Menjelas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram berkata, menerusi pelan yang dicadangkan itu juga terdapat kemungkinan bahawa peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di bawah Undang-Undang Mahkamah yang baharu akan dipinda manakala ‘statutory function’ sekarang sebagai Pegawai Pengetua pula akan dikaji semula.

“Tetapi perkara yang tidak berubah adalah peranan KMKK sebagai penjaga yang dapat memelihara, mempromosikan dan melindungi adat-adat kaum Bumiputera agar adat tersebut kekal dan berkembang mengikut zaman dan arus pembangunan Sarawak.

“Semua ini akan dimaklumkan selepas keputusan dibuat oleh kerajaan Sarawak,” dedahnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak Dahim Nadot, Timbalan Residen Bahagian Miri Juan Ubit, Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof,  Temenggong Komuniti Kaum Melayu Bahagian Miri Dato Abdul Rahman Abang Fadzail, Temenggong Komuniti Kaum Iban Bahagian Miri Willson Atong Limping dan  Temenggong Komuniti Kaum Cina Bahagian Miri  Yong Vui Seng. -EDISI UKAS

add comment