Ketua Masyarakat Miliki Peranan Penting Dalam Mahkamah Bumiputera

SELASA, 7 MAC 2023

MARUDI: Barisan ketua masyarakat mempunyai peranan penting dalam Mahkamah Bumiputera di negeri ini. 

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Jefferson Jamit Unyat, ketua masyarakat bertugas sebagai hakim dan pengapit dalam membantu kerajaan menyelesaikan kes-kes berkaitan adat isitiadat bumiputera di peringkat akar umbi. 

“Saya berharap agar semua ketua masyarakat yang dilantik untuk memegang tanggungjawab ini supaya menjalankan tugas masing-masing dengan penuh amanah,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke Mahkamah Bumiputera Daerah Marudi pada Selasa. 

Lawatan kerja tersebut merupakan antara siri lawatan beliau yang bertujuan untuk mengenalpasti isu serta permasalahan yang dihadapi setiap Mahkamah Bumiputera bagi meningkatkan statusnya agar setaraf dengan Mahkamah Syariah dan Sivil.

Dalam pada itu, Jefferson menegaskan, hasil dapatan daripada setiap lawatan itu akan dibawa ke peringkat seterusnya. 

“Kerajaan Sarawak kini dalam proses memartabatkan dan menaik taraf Mahkamah Bumiputera di seluruh Sarawak dan kini hanya menunggu untuk dibawa ke peringkat kabinet,” jelasnya lagi. 

Antara perkara yang dikemukakan semasa lawatan kerja Jefferson ke Mahkamah Bumiputera Daerah Marudi itu termasuk permohonan mendapatkan bangunan Pejabat Mahkamah Bumiputera tersendiri serta permohonan untuk ruang penyimpanan doket yang lebih selamat dan teratur.

Jefferson turut berkesempatan menyumbangkan sebanyak geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM3,000 untuk membeli pendingin hawa dan kelengkapan lain untuk kegunaan pejabat Ketua Masyarakat di daerah Marudi.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Dahim Nadot, Hakim Mahkamah Bumiputera Sarawak Baweng Tajang Laing dan Pegawai Daerah Marudi Belayong Pok. -EDISI UKAS.

add comment