Mahkamah Bumiputera Sarawak Berusaha Selesaikan Kes Tertunggak

SELASA, 7 MAC 2023

MIRI: Mahkamah Bumiputera Sarawak pada masa ini sedang berusaha untuk menyelesaikan kes-kes yang tertunggak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Jefferson Jamit Unyat berkata, ia melibatkan kes di peringkat Mahkamah Bumiputera Daerah dan Residen.

“Walaupun pencapaian kita setakat ini adalah memuaskan, saya difahamkan masih terdapat banyak lagi kes yang belum didengar dan dibuat keputusan oleh Tuan-Tuan Pegawai Daerah dan Majistret-Majistret dari Ibu Pejabat Mahkamah di Kota Samarahan.

“Mengikut rekod yang ada, masih terdapat 1,260 kes atau 35 peratus daripada jumlah kes yang telah difailkan dibawah Mahkamah Bumiputera Daerah di seluruh Sarawak masih belum diselesaikan.

“Ada daripada kes ini melibatkan pampasan tanah dan pihak mahkamah pada masa ini memberi keutamaan kepada kes sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam sempena lawatan kerjanya Mahkamah Bumiputera Bahagian Miri pada Isnin.

Sementara itu, beliau turut mendedahkan mengenai jumlah kes yang belum diselesaikan di Chief Court atau Kot Penghulu dan Superior Chief Court atau Kot Pemanca di seluruh Sarawak.

“Pada masa ini, terdapat lebih daripada 2,800 kes di Chief Court atau Kot Penghulu dan Superior Chief Court atau Kot Pemanca di seluruh Sarawak yang belum diselesaikan.

“Bilangan kes ini termasuk 438 kes di bahagian Miri iaitu 420 kes di bawah Kot Penghulu dan 18 kes di bawah Kot Pemanca.

“Sukacita saya mengambil peluang ini untuk menyeru agar semua Ketua Masyarakat yang terlibat membantu pihak mahkamah untuk menyelesaikan kes-kes tertungak ini dengan secepat mungkin,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak Dahim Nadot, Timbalan Residen Bahagian Miri Juan Ubit, Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof,  Temenggong Komuniti Kaum Melayu Bahagian Miri Dato Abdul Rahman Abang Fadzail, Temenggong Komuniti Kaum Iban Bahagian Miri Willson Atong Limping dan  Temenggong Komuniti Kaum Cina Bahagian Miri  Yong Vui Seng. -EDISI UKAS

add comment