SELASA, 7 MAC 2023
BINTULU: Bintulu telah dipilih sebagai tuan rumah bagi sambutan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Sarawak kali ke-62 pada 15 hingga 18 Mac ini.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha berkata, majlis yang diadakan bersempena dengan 60 tahun Sarawak Merdeka itu bakal menyaksikan seramai 37 peserta daripada Kuching, Samarahan, Betong, Sarikei, Mukah, Bintulu dan Limbang mengambil bahagian.
“Pada tahun ini, Jabatan Agama Islam Sarawak telah memilih tema iaitu “Keluarga Malaysia, Pemangkin Kemakmuran”.
“Tema ini telah disatukan dengan tema Sarawak sempena sambutan 60 tahun iaitu “Sarawakku Maju Makmur”. Kedua-dua tema ini disatukan dalam majlis tilawah pada kali ini.
“Seramai 11 orang Qari dan lapan orang Qariah akana menyertai majlis tilawah manakala majlis hafazan bakal menyaksikan seramai lapan orang peserta hafazan lelaki dan 10 orang peserta hafazan perempuan mengambil bahagian,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak Ke-42 1444H/2023M di sini pada Selasa.
Datuk Misnu memaklumkan, pada 16 Mac ini, Majlis Hafazan Al-Quran akan berlansung pada sebelah pagi dan Majlis Tilawah Al-Quran akan berlangsung sebelah malam.
Beliau turut memberitahu, pada 14 Mac ini nanti akan diadakan satu forum bual bicara bertajuk “Membangun generasi Al-Quran” di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
Di samping itu juga, katanya, program “Ihya Ramadhan” sempena bulan Ramadhan juga akan diadakan kelak yang akan melibatkan beberapa buah kampung iaitu di Masjid Darul Ibadah Tatau, Masjid Darul Makmur Kampung Jepak dan di Dewan Suarah Bintulu.
Katanya lagi, Pejabat Agama Islam Sarawak turut akan menganjurkan program “Kayuhan Harmoni” di kawasan masjid-masjid di Bintulu.
Selain itu ujar beliau, kuiz Al-Quran pada malam majlis tilawah Al-Quran juga akan diadakan dengan pelbagai hadiah menarik menanti mereka yang menyertainya kelak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijangka menyempurnakan majlis perasmian pada 15 Mac kelak dan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pula dijangka akan hadir pada malam penyampaian hadiah majlis berkenaan pada 18 Mac.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Khalidi Ibrahim, Pengarah JAKIM Hamdan Jaraee, wakil Residen Bahagian Bintulu Nur Fadzilah Narudin, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penerangan Islam Dr Asmah @ Rajemah Othman dan Jurutera Jabatan Kerja Raya Bintulu Fatiaelzera Mohd Idres. -Edisi UKAS