SELASA, 7 MAC 2023
KANOWIT: Rakyat di kawasan luar bandar khasnya di Kanowit harus peka dengan sebarang perubahan atau transformasi yang berlaku.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana, Kerajaan Sarawak telah merancang pelbagai pembangunan dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar.
Antaranya penubuhan Agensi Pembangunan RASCOM (RASDA) yang meliputi kawasan Daerah Kanowit dan Daerah Selangau.
Menurut Anyi, dalam RASDA beliau telah dilantik mengetuai Ahli Jawatankuasa yang akan memantau perancangan pembangunan bagi tiga kawasan Skim Penempatan Semula (SPS) di DUN Ngemah iaitu SPS Ng. Jagau, SPS Ng. Ngungun dan SPS Ng. Tada.
Bagi tujuan itu, satu mini lab bagi memberi penerangan mengenai RASDA akan diadakan pada 22 Mac 2023 di Dewan Serbaguna, Majlis Daerah Kanowit.
Katanya, peserta yang terlibat perlulah bersedia dengan pelan dan cadangan pembangunan bagi kawasan DUN Ngemah.
Anyi berkata demikian semasa menghadiri Majlis Jamuan Ulang Tahun Ke-20 Tokong Fung Chin Kong di Nanga Pedai di sini pada Isnin.
Menyentuh perkara lain, Anyi juga memberi jaminan akan mengagihkan bajet secara adil bagi kawasan DUN Ngemah.
Tegas beliau, peruntukan yang ada akan disalurkan kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama mahu pun fahaman politik.
Mengenai majlis tersebut, Anyi berkata ia kunjungan kedua belia di situ pada tahun ini selepas Tahun Baru Cina yang lepas.
Hadir sama Mantan ADUN Machan Dato Sri Gramong Juna, Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan Malaysia Dr. Stephen William, isteri Anyi Gelim Utan dan ketua-ketua masyarakat setempat. – EDISI UKAS