SELASA, 7 MAC 2023
KUCHING: Pelabur dari Australia menyatakan minat untuk melabur dalam industri pembuatan logam di Sarawak.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa, para pelabur tersebut telah melakukan pertemuan dengan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di pejabatnya di sini.
Kenyataan itu berkata, pelabur Australia itu menyatakan minat mereka untuk melabur dalam industri pembuatan logam di Sarawak secara hijau.
Ujar kenyataan yang sama, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II itu turut mengalu-alukan kehadiran syarikat lain yang berminat untuk melabur di Sarawak dan kementeriannya akan memudahkan syarikat pelabur itu terutama sekali dalam cadangan mereka.
Tambah kenyataan berkenaan, Sarawak telah menjadi destinasi pelaburan yang popular kerana memiliki banyak kelebihan termasuk ketersediaan tenaga hidro hijau yang akan dimanfaatkan oleh pelabur dalam pengeluaran mereka seiring dengan usaha mereka untuk neutraliti karbon.
Agensi-agensi seperti Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Sarawak Energy Berhad (SEB), LAKU, Jabatan Alam Sekita (JAS), Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Sarawak (NREB), Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) dan lain-lain telah hadir pada pertemuan dengan Timbalan Premier Sarawak bagi memudahkan syarikat pelabur.-Edisi UKAS