SELASA, 7 MAC 2023
KUCHING: Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Usahawan Sarawak (SEDCC) bercadang untuk membangunkan pangkalan data usahawan Sarawak serta memudahkan kaedah pendaftaran perniagaan di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan telah bersetuju secara dasarnya terhadap dua cadangan tersebut dan akan meneliti secara lebih lanjut pada masa hadapan.
“Tujuannya ialah untuk mengumpul data usahawan secara komprehensif yang boleh dikongsikan antara agensi untuk perancangan dan pelaksanaan program atau projek bagi membantu kegiatan perniagaan dan keusahawanan dalam kalangan peniaga kecil dan sederhana.
“Manakala, cadangan untuk memudahkan cara pendaftaran perniagaan adalah selari dengan aspirasi kerajaan iaitu ‘ease of doing business’ termasuk e-Dagang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Induk SEDCC di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Selasa.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak menambah, kerajaan akan memperincikan garis panduan berkaitan jenis perniagaan yang boleh mendaftarkan alamat kediaman sebagai alamat perniagaan terutamanya perniagaan-perniagaan di atas talian.
“Hal ini akan menggalakkan usahawan tidak formal menjadi satu golongan yang boleh didaftarkan, sekaligus memudahkan proses penerimaan bantuan yang disediakan oleh kerajaan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyatakan komitmen kerajaan Persekutuan untuk terus menyokong kerajaan Sarawak melalui penubuhan jawatankuasa induk di peringkat negeri dan Jawatankuasa Pembangunan Usahawan peringkat bahagian.
“Kita akan menyalurkan geran pentadbiran kepada setiap bahagian di sini untuk mengadakan mesyuarat yang berkaitan,” jelasnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dr Ripin Lamat, dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Dzulkornain Masron. -EDISI UKAS