RABU, 8 MAC 2023
MIRI: Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah mewujudkan empat unit baru bagi melancarkan proses penguatkuasaan perintah Mahkamah Syariah berhubung dengan tunggakan nafkah oleh suami atau bapa yang culas.
Menurut Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Yang Amat Arif Datu Awang Suhaili Ledi, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak melalui BSK sentiasa prihatin dan mengambil berat nasib yang dialami oleh isteri dan anak-anak yang teraniaya akibat perbuatan suami atau bapa yang culas melaksanakan perintah nafkah yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.
“Bagi melancarkan proses penguatkuasaan perintah Mahkamah Syariah berhubung dengan tunggakan nafkah, maka BSK mengambil pendekatan mewujudkan empat unit iaitu Unit Pemantauan (UP), Unit Khidmat Nasihat Perundangan (UKNP), Unit Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah (UPPP) dan Unit Pengurusan Dana (UPD),” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Dana Sokongan Keluarga Bahagian Sokongan Keluarga & Sumbangan Asnaf Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak di sini pada Selasa.
Tambah beliau, unit-unit tersebut berperanan secara seiring bagi memastikan pihak pemiutang penghakiman terutamanya anak dan isteri tidak teraniaya oleh perbuatan bapa atau suami yang gagal dan ingkar melaksanakan perintah nafkah tersebut tambahan pula peningkatan kos sara hidup sejak akhir-akhir ini.
“Namun, hal ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan hak dan tanggungjawab sebagai seorang suami atau bapa.
“Pemberian ini bagi memastikan kebajikan mereka terjaga dari segi nafkah yang berkaitan sementara menunggu prosiding penguatkuasaan selesai,” ujarnya.
Dalam pada itu, JKSS juga telah menyerahkan Bantuan Dana yang diperoleh daripada Tabung Baitulmal Sarawak kepada 17 penerima terpilih dan sumbangan kepada lima golongan asnaf dalam majlis yang sama.
Turut hadir Temenggong Bahagian Miri Dato’ Abdul Rahman Abang Fadzail, Residen Bahagian Miri Arshad Samshu dan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Abdul Karim Mohd. Nuli. -Edisi UKAS