RABU, 8 MAC 2023
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah dan sedang mempertingkatkan infrastruktur komunikasi di kawasan pedalaman dan luar bandar Sarawak dan Parlimen Selangau khasnya.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, usaha tersebut adalah melalui inisiatif JENDELA Fasa 1 dan Fasa 2 dengan capaian jaringan dan liputan internet sedang diperluaskan secara berperingkat.
Menurutnya,setakat suku ketiga tahun 2022, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak telah meningkat kepada 84.69 peratus berbanding 73.67 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA.
“Peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Parlimen Selangau telah meningkat kepada 52.28 peratus berbanding 28.14 peratus berbanding pelaksanaan JENDELA pada suku kedua 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta dalam Persidangan Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Sebelum itu, Edwin bertanya perancangan untuk menaik taraf prasarana dan liputan telekomunikasi bagi memastikan penduduk luar bandar di Sarawak khususnya di kawasan Selangau mendapat capaian jalur lebar yang terbaik.
Ahmad Fahmi menambah, bagi meningkatkan akses capaian internet secara menyeluruh di Sarawak, setakat suku keempat 2022, sebanyak 90,840 premis telah siap disediakan dengan sambungan gentian optik bagi jalur lebar talian tetap melebihi daripada 115,287 yang dirancang.
Katanya, selain itu, sebanyak 3,546 alat pemancar komunikasi telah siap dinaik taraf kepada teknologi 4G, manakala baki sebanyak 43 lagi dalam peringkat pelaksanaan daripada 3,589 yang dirancang.
“Kementerian juga telah menyiapkan 158 menara baharu dan dalam proses menyiapkan baki 684 menara daripada sejumlah 842 menara yang dirancang.
“Kesemua inisiatif yang sedang dalam peringkat pelaksanaan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2023,” jelasnya.
Sementara itu, beliau memberitahu, kementerian telah mempercepatkan penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui teknologi satelit di 523 lokasi di kawasan pedalaman di Sarawak yang pada asalnya dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2023 di dalam JENDELA Fasa 2 yang berjaya disiapkan sepenuhnya dalam JENDELA Fasa 1 pada tahun 2022. -EDISI UKAS