Penjawat Awam Perlu Berintegriti Semasa Jalankan Tanggungjawab

RABU, 8 MAC 2023

KUCHING: Penjawat awam perlu berpegang teguh kepada integriti, menerapkan disiplin yang tinggi dalam diri serta menzahirkan sahsiah yang baik semasa menjalankan tanggungjawab.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Dato’ Sri Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, penjawat awam perlu menjalankan tanggungjawab terhadap kementerian, agensi atau pihak berkuasa tempatan dan tidak mengutamakan kepentingan peribadi agar tidak melanggar undang-undang, peraturan, dan garis panduan yang berkuat kuasa.

“Secara umumnya, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) merupakan salah satu Kementerian di Sarawak yang mempunyai tanggungjawab yang besar kerana kita menyelia dan memantau tiga agensi utama iaitu Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS), Jabatan Perkhidmatan Pembentungan Sarawak (SSD) dan Perbadanan Perumahan Sarawak (HDC) serta 24 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sarawak.

“Setiap agensi dan PBT di bawah Kementerian mempunyai peranan masing-masing, terutamanya berkaitan projek pembangunan untuk memastikan kesejahteraan rakyat. Ia bukan sahaja pembangunan projek kerana agensi kita di barisan hadapan. Barisan hadapan menerima paling banyak aduan.

“Banyak aduan diterima dan disalurkan kepada kementerian, agensi dan PBT berkaitan pemberian tender projek/perkhidmatan kepada petender yang mempunyai kepentingan peribadi dengan pegawai yang bertanggungjawab menguruskan projek,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Hari Integriti MPHLG 2023 di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Rabu.

Hadir sama ialah Timbalan-Timbalan Menteri MPHLG Datuk Dr. Penguang Manggil dan Micheal Tiang Ming Tee.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Profesor Dr Sim juga menjelaskan, beliau percaya aduan yang diterima oleh kementeriannya itu berlaku atas dua sebab.

“Yang pertama adalah disebabkan oleh salah faham orang ramai terhadap prosedur perolehan seperti melalui tender dan sebut harga sesuatu projek atau perkhidmatan.

“Kedua adalah kerana kepentingan peribadi pegawai yang menguruskan projek atau perkhidmatan yang membawa kepada rasuah,” jelasnya.

Selain itu tambahnya, bagi menyelesaikan aduan-aduan yang diterima, komitmen pengurusan boleh ditunjukkan melalui pengisytiharan kepentingan dan kerahsiaan semasa sebarang mesyuarat yang melibatkan projek atau perkhidmatan.

Beliau turut menegaskan kepada kakitangan MPHLG dan setiap agensi serta PBT untuk memastikan pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dilakukan mengikut jangka masa yang ditetapkan bagi mencapai objektif yang telah digariskan bermula tahun ini.

Sejurus selepas berucap, Timbalan Premier Sarawak bersama tetamu kehormat telah menyaksikan bacaan lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan I MPHLG Abu Bakar Sepawi.

Ia disusuli dengan majlis menandatangani Watikah Ikrar Bebas Rasuah yang dilakukan oleh Timbalan Setiausaha Tetap MPHLG Elizabeth Loh dengan disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Sarawak Mohamad Zaki Hassan di hadapan Dato’ Sri Profesor Dr Sim serta tetamu kehormat.-Edisi UKAS

add comment