KHAMIS, 9 MAC 2023
KUCHING: Seramai 40 kanak-kanak di negeri ini menerima anugerah taraf kewarganegaraan Malaysia secara rasmi selaras dengan perkara 15A Perlembagaan Persekutuan pada Khamis.
Penyerahan taraf kewarganegaraan itu telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Semasa berucap dalam majlis berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, taraf kewarganegaraan Malaysia merupakan satu anugerah tertinggi yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan kepada seseorang.
“Memang menjadi tugas besar untuk sebuah kerajaan yang bertanggungjawab bagi menyelesaikan pelbagai isu rakyat dan dalam kepelbagaian dan berhimpunnya isu atau masalah rakyat ada satu komponen yang sangat penting iaitu hal kewarganegaraan.
“Ia merupakan anugerah tertinggi yang datang dengan tanggungjawab dan pertanggungjawaban di mana seorang warganegara mereka mempunyai tanggungjawab terhadap negara, ketaatan, kepatuhan terhadap undang-undang, dan berusaha memberi sumbangan sedaya mungkin kepada negara.
“Negara juga mempunyai tanggungjawab ke atas warganya iaitu melindungi dari segi keselamatan, memberi hak mendapat pendidikan, kesihatan dan menjadi warga yang bermaruah dalam sebuah negara berdaulat,”katanya.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan kepada ibu bapa penerima surat kelulusan kewarganegaraan itu untuk memastikan anak-anak mereka mendaat pendidikan yang sepatutnya.
“Pesan saya kepada mereka, ibu bapa pastikan pendidikan yang baik kepada anak-anak ini yang telah kita berikan surat kelulusan kewarganegaraan.
“Biar mereka tinggal dalam sebuah negara yang mereka tahu mengambil berat tentang mereka dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga ini adalah menentukan dan memberi bantuan secepat mungkin supaya yang mendapat status warganegara ini mampu bersaing dengan yang lain,”ujar beliau lagi.
Sementara itu, dalam sidang media pula, Datuk Seri Saifuddin Nasution menjelaskan, KDN dan Kerajaan Sarawak melalui KPWK telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengurus, meneliti, memproses status kewarganegaraan melalui kes-kes yang diangkat permohonannya oleh KPWK.
Beliau berkata, bermula dengan penubuhan jawatankuasa itu, proses untuk menguruskan warganegara itu bermula.
“Ini diberi di bawah perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, yang mana Kerajaan Persekutuan boleh, dalam sesuatu hal keadaan khas yang difikirkan patut mengarahkan supaya seseorang yang berumur kurang daripada 21 tahun didaftarkan sebagai warganegara.
“Jadi, yang kita bagi tadi ada yang merupakan anak angkat, anak-anak di bawah jagaan Pusat kebajikan, jabatan Kebajikan, dan anak-anak yang lahir dari ikatan perkahwinan yang sah. Jadi kita memproses secara kumpulan demi kumpulan,” katanya lagi.
Penerima-penerima taraf kewarganegaraan Malaysia ini adalah sebahagian daripada pemohon-pemohon yang telah kerajaan pertimbangkan sebagai layak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan yang berkuat kuasa.
Ini juga adalah salah satu fokus serta tekad Kementerian untuk mengkaji dan menyelesaikan isu-isu berkenaan dengan kewarganegaraan dan juga isu-isu berkenaan dengan pendaftaran serta dokumen pengenalan diri yang menjadi perhatian dan keresahan pelbagai pihak.
Pertimbangan terhadap permohonan kewarganegaraan adalah selaras dengan semangat “Malaysia Madani” yang mengutamakan kesejahteraan sebuah keluarga dan ihsan setelah meneliti kesannya terhadap kepentingan negara tapa mengurangkan sedikit pun keutamaan kepada kepentingan negara serta kebajikan warganegara Malaysia yang sedia ada.-Edisi UKAS