KHAMIS, 9 MAC 2023
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan telah dan sedang mempertingkatkan infrastruktur komunikasi di kawasan pedalaman dan luar bandar Sarawak, melalui pelaksanaan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 (2020-2022) dan Fasa 2 (2023-2025) yang mana capaian jaringan dan liputan internet sedang diperluas secara berperingkat.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, kesemua inisiatif yang sedang dalam peringkat pelaksanaan dijangka akan siap sepenuhnya pada suku keempat 2023.
Ujar beliau, kementeriannya telah mempercepatkan penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui teknologi satelit di 523 lokasi di kawasan pedalaman di Sarawak yang pada asalnya dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2023 di dalam JENDELA Fasa 2, tetapi berjaya disiapkan sepenuhnya di dalam JENDELA Fasa 1 tahun 2022.
“Bagi meningkatkan akses capaian internet secara menyeluruh di Sarawak, setakat suku keempat 2022, sebanyak 90,840 premis telah siap disediakan dengan sambungan gentian optik bagi jalur lebar talian tetap melebihi daripada 115,287 yang dirancang.
“Selain itu, sebanyak 3,546 alat pemancar komunikasi telah siap dinaik taraf kepada teknologi 4G, manakala baki sebanyak 43 lagi dalam peringkat pelaksanaan daripada 3,589 yang dirancang.
“Kementerian juga telah menyiapkan 158 menara baharu dan dalam proses menyiapkan baki 684 menara daripada sejumlah 842 menara yang dirancang,”katanya bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta dalam persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.
Menyentuh mengenai parlimen Selangau, Ahmad Fahmi memberitahu, setakat suku keempat tahun 2022, sebanyak 570 premis telah siap dengan ketersediaan sambungan gentian optik bagi jalur lebar talian tetap.
Selain itu katanya, sebanyak 123 alat pemancar komunikasi telah siap dinaik taraf sepenuhnya kepada teknologi 4G, manakala satu alat pemancar lagi dijangka akan siap menjelang suku keempat 2023.
“Kementerian juga telah merancang sebanyak 44 buah menara baharu, yang mana empat buah menara telah pun siap setakat suku keempat 2022, manakala baki 40 buah menara lagi dalam peringkat pelaksanaan yang dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2023.
“Pada masa yang sama, kerajaan negeri melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) telah mewujudkan inisiatif Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN) dalam usaha untuk merperluaskan perkhidmatan internet di Sarawak.
“Di bawah inisiatif SALURAN, Kerajaan Negeri telah mewujudkan projek pembinaan sejumlah 600 menara komunikasi baharu yang dikenali sebagai Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) Fasa 1 dan Fasa 2.
“Kesemua menara tersebut yang kini di pelbagai peringkat pelaksanaan disasar untuk disiapkan secara berperingkat sehingga penghujung tahun 2023.
“Bagi Parlimen Selangau, sejumlah lima menara diperuntukkan di bawah SMART Fasa 1 dan 35 menara diperuntukkan di bawah SMART Fasa 2,”jelas beliau.
Tambahnya lagi, kerjasama dari agensi-agensi kerajaan Sarawak dan Persekutuan seperti Jabatan Tanah dan Survei, Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) dan Pihak Berkuasa Tempatan amat diperlukan bagi mempermudah proses yang melibatkan kelulusan tapak projek berkaitan perkhidmatan komunikasi, termasuk pengenaan kos dan fi yang munasabah.
Hal yang demikian sekaligus dapat mengelak kelewatan projek yang akan secara langsung memberi impak sosial dan ekonomi kepada rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan internet.-Edisi UKAS