KHAMIS, 9 MAC 2023
KUALA LUMPUR: Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) kawasan Puncak Borneo Fasa 2 kini dalam peringkat penyediaan dokumen tender oleh pihak perunding.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, penyediaan dokumen tender itu perlu dilakukan sebelum pelaksanaan Makmal Kejuruteraan Nilai (VE Lab) pada suku kedua tahun ini.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan bahawa projek berkenaan akan ditender pada suku ketiga tahun ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin dalam persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.
Terdahulu, Datuk Willie telah meminta Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk menyatakan status Projek BALB Fasa Dua di kawasannya.
Untuk rekod, projek BALB tersebut telah selesai dilaksanakan Makmal Kajian Nilai (VA Lab) pada 25 hingga 29 Julai 2022.-Edisi UKAS