KHAMIS, 9 MAC 2023
KUALA LUMPUR: Projek membina baru Hospital Lawas dengan kelengkapan sebanyak 76 buah katil dijangka siap pada 11 Disember 2024.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa memberitahu, projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dengan kos keseluruhan sebanyak RM228.17 juta itu telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 25.21 peratus setakat 31 Januari 2022.
Menurut beliau, kementeriannya bersama Jabatan Kerja Raya sentiasa memantau pelaksanaan projek berkenaan agar berjalan dengan lancar dan disiapkan mengikut jadual, kos serta piawaian yang telah ditetapkan.
Dalam masa sama Ahli Parlimen Sekijang itu memberitahu, perkhidmatan kepakaran asas juga turut dirancang untuk disediakan di hospital berkenaan kelak.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai perancangan untuk menyediakan perkhidmatan kepakaran asas yang akan disediakan secara berperingkat mengikut ketersediaan sumber dan fasiliti yang bakal disiapkan di hospital ini iaitu perkhidmatan perubatan am, pembedahan am, perubatan kecemasan, perkhidmatan pediatrik termasuk perkhidmatan obstetrik dan ginekologi,”katanya.
Beliau menjelas demikian sebagai jawapan kepada soalan Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong di persidangan Dewan Rakyat pada Rabu. -Edisi UKAS