Golongan Wanita Terus Terima Pengiktirafan

JUMAAT, 10 MAC 2023

MIRI: Golongan wanita di negeri ini terus menerima pengiktirafan di atas sumbangan mereka dalam pembangunan dan kemajuan Sarawak.

Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, golongan berkenaan terus berkembang menunjukkan kebolehan dan kemampuan diri dalam pelbagai bidang.

“Sebagai contoh, baru-baru ini wanita telah dilantik menjadi Penghulu dan Pemanca di kalangan kaum Kelabit dan Lun Bawang. 

“Ini merupakan satu perkembangan positif kerana lebih ramai wanita dilantik sebagai ketua masyarakat kanan berdasarkan kebolehan kepimpinan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Makan Malam Sambutan Hari Wanita Antarabangsa anjuran Persatuan Wanita Orang Ulu Miri di sini pada Khamis. 

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut memberitahu, Persatuan Wanita Orang Ulu ialah satu platform yang baik untuk menerokai potensi dan keupayaan penuh wanita dalam kalangan Orang Ulu.

Dalam majlis sama, beliau mengumumkan sumbangan daripada ADUN Mulu sebanyak RM8,000 dan sumbangan beliau sendiri sebanyak RM3,000 kepada Persatuan Wanita Orang Ulu Miri. -Edisi UKAS.

add comment