Kerajaan Sarawak Sentiasa Tumpu Pendidikan Di Peringkat Awal

JUMAAT, 10 MAC 2023

SARIKEI : Kerajaan Sarawak sentiasa memberi penumpuan kepada pendidikan anak-anak yang bermula dari peringkat tadika sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. 

Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, banyak peruntukan telah dikeluarkan untuk pendidikan di negeri ini. 

“Pendidikan adalah aspek yang amat penting bagi generasi muda ini supaya diberikan pendidikan yang terbaik agar dapat menjadi pewaris kepada kepimpinan generasi akan datang. 

“Banyak peruntukan telah dikeluarkan untuk pendidikan yang bermula dari Tadika Sedidik, sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya institusi pendidikan tinggi khusus untuk anak-anak Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Program Back To School Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang di Everwin Fashion House Supermarket pada Jumaat.

Jelasnya lagi, Skim Bantuan Pendidikan Kuala Rajang juga salah satu bantuan yang sentiasa diberikan sepanjang tahun khusus bagi anak-anak yang dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kesemua penerima bantuan ini adalah dari maklumat pihak sekolah masing-masing dalam kategori B40 ataupun M40 dalam usaha membantu meringankan beban para ibubapa,” ujarnya. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berharap para pelajar terus menunjukkan minat dalam pelajaran di samping para ibu bapa dapat memberi dorongan serta bimbingan dan kerjasama dengan para guru di sekolah untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak.

Dalam program tersebut, seramai 50 orang murid dari Sekolah Rendah Abang Haji Matahir Sarikei telah menerima bantuan pembelian barangan keperluan sekolah seperti baju, seluar, beg dan kasut.

Secara keseluruhan, seramai 1,230 orang pelajar dari kawasan DUN Kuala Rajang telah dikenalpasti untuk menerima bantuan Program Back To School pada tahun ini di mana ia merupakan program tahunan sejak lebih dari lima tahun lalu.-EDISI UKAS 

add comment