JUMAAT, 10 MAC 2023
LAWAS: Pihak kontraktor bagi projek pembinaan Hospital Lawas digesa untuk mempercepatkan penyiapan bangunan yang amat dinanti-nantikan oleh masyarakat Lawas itu.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, beliau percaya projek yang sepatutnya siap pada penghujung tahun ini dan tertangguh disebabkan pandemik COVID-19 itu, secara fizikal dapat disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
“Projek Hospital Lawas ini dijangka akan siap pada Disember 2024 yang pada asalnya,ia dijadualkan siap pada hujung tahun ini.
“Kita telah meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memantau perkembangan kerja-kerja pembinaan projek ini.
“Dalam masa yang sama kontraktor juga akan mengemukakan pelan-pelan tindakan bagaimana untuk memastikan hospital ini dapat disiapkan lebih awal seperti apa yang dijadualkan supaya ia dapat beroperasi lebih awal.
“Projek ini begitu penting sekali dan ia adalah hasrat masyarakat Lawas daripada dulu lagi dan kita telah minta projek ini daripada dulu lagi,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke tapak projek tersebut bersama Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur) Aidel Lariwoo pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari mendedahkan, setakat 8 Mac 2023, projek yang menelan kos RM165 juta itu dilaporkan mencapai tahap 30.04 peratus penyiapannya.
Sejurus selepas sidang media berkenaan, Datuk Amar Awang Tengah bersama rombongan telah melakukan lawatan ke tapak projek pembinaan Klinik Kesihatan (KK3) Lawas yang telah berada pada tahap kemajuan 64.42 peratus siap setakat ini.
Beliau telah diberikan taklimat berkenaan dengan perkembangan pembinaan projek ini dan berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Projek pembinaan Klinik Kesihatan (KK3) Lawas yang menelan kos lebih RM 25 juta itu telah dimulakan pada 17 September 2020 dan dijangka siap pada 11 Jun ini.
Antara skop kerja projek berkenaan adalah meliputi klinik kesihatan jenis tiga (dua tingkat), sebuah kuaters dua tingkat, blok-blok sokongan, blok pondok pengawal, blok rumah sampah, blok rumah pam, blok garaj ambulan dan blok genset.
Setelah lawatan ke projek pembinaan klinik kesihatan itu, Timbalan Premier Sarawak kemudiannya telah melakukan lawatan ke tapak Projek Jalan Tanah Perkuburan Pulau Sari, Kuala Lawas.
Projek yang menelan kos RM 200,000 itu telah dimulakan pada 14 Disember 2022 dan telah siap pada 7 Mac lalu 2yang melibatkan pembinaan jalan simen, tempat letak kereta dan laluan bertangga.
Dengan siapnya projek tersebut, ia telah memudahkan untuk para pengunjung tanah perkuburan itu untuk meletak kenderaan dan melalui jalan tersebut dengan lebih baik lagi.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Zainal Abidin Dato Pengiran Jawa, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidillah Abdul Latip, dan Jurutera Bahagian Limbang Mahathir Jokeni.-Edisi UKAS