Sarawak Perlukan Ramai Jururawat: Dr Sim

JUMAAT, 10 MAC 2023

SIBU: Sarawak memerlukan lebih ramai jururawat terutamanya dalam penjagaan akut, penjagaan khusus dan untuk penempatan di klinik-klinik pedalaman.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, nisbah perkhidmatan jururawat di Sarawak ialah pada kadar 3.16 bagi 1,000 penduduk berdasarkan populasi Sarawak pada 2020 iaitu seramai 2,907,500 orang.

Bagaimanapun katanya, nisbah bagi kebanyakan negara membangun adalah jauh lebih tinggi iaitu lapan jururawat bagi 1,000 penduduk.

“Pada masa ini, 93.86 peratus atau 6,146 jawatan jururawat di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah diisi, daripada 6,548 jawatan yang ditawarkan.

“Bagi jawatan jururawat desa (JM) pula, hanya 1,874 telah diisi daripada 2,875 kekosongan,” katanya dalam teks ucapan dibaca oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng semasa merasmikan Persidangan Kejururawatan Sarawak (SNC) 2023 di sebuah hotel terkemuka di Sibu pada Jumaat.

Jelas beliau, terdapat dua isu utama dihadapi jururawat di Sarawak iaitu kekurangan jawatan kenaikan pangkat bagi jururawat kanan di mana apabila mereka perlu berpisah daripada keluarga dan terpaksa berpindah ke Semenanjung jika dinaikkan pangkat.

Selain itu katanya, Sarawaj juga berdepan isu kekurangan jururawat di kawasan luar bandar.

“Pengambilan dan latihan jururawat JM dihentikan sejak 2015, tetapi penaiktarafan jawatan JM kepada jawatan jururawat kakitangan tertangguh.

“Malah JM yang mengikuti latihan menjadi jururawat kakitangan lebih dua tahun lalu belum dilantik ke jawatan terbabit,” tegas beliau.

Dalam hal ini, beliau berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mempertimbangkan jawatan yang lebih senior di Sarawak supaya jururawat-jururawat ini dapat tinggal di kampung halaman dan berkhidmat di sini.

Selain itu, pihak KKM juga diharap dapat meneliti perkara itu untuk mendapatkan lebih ramai jururawat JM yang pada masa ini hanya pada tahap 65.18 peratus.

“Jadi, untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik di kawasan luar bandar, saya berharap Kementerian Kesihatan dapat memberi perhatian lebih terhadap isu ini,” katanya.

Mengenai persidangan tersebut, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu menambah, ia bermatlamat untuk memperkukuh kepentingan menyediakan penjagaan kesihatan holistik kepada masyarakat.

Beliau dalam pada itu berharap semua peserta akan lebih memahami peranan jururawat dalam menyediakan penjagaan kesihatan holistik pada penghujung persidangan itu nanti.

“Saya juga berharap anda akan dapat mengkaji semula amalan semasa anda dalam menyediakan penjagaan kesihatan holistik dan dapat mengambil bahagian dalam semua usaha dalam menambah baik amalan kejururawatan semasa,” katanya lagi.

Kira-kira 422 peserta menghadiri persidangan yang bertemakan ‘Memupuk Paradigma Penjagaan Holistik’ anjuran Persatuan Kejururawatan Profesional Sarawak (SNPA) Cawangan Sibu dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu.

Ia diadakan selama dua hari hingga Sabtu di Kingwood Hotel Sibu dengan penglibatan lebih 400 delegasi termasuk pegawai perubatan dan pelajar dari seluruh Malaysia.

Persidangan itu memberi tumpuan kepada empat perkara iaitu Penjagaan Hospital Akut, Penjagaan Komuniti, Penjagaan Paliatif dan Penjagaan Pediatrik.

Hadir sama Pengarah Kejururawatan KKM Devi Saravana Muthu, Pengurus Klinikal Fakulti Perubatan, Kejururawatan dan Sains Kesihatan Universiti SEGi Margareth Wong, Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun, Presiden SNPA Lee Na, Pengerusi SNPA Cawangan Sibu Daisy Su Ping King, Pengarah Hospital Sibu Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu dan Pengerusi Penganjur Niyom Peter Angkau. – EDISI UKAS

add comment