Ahli Parlimen Lubok Antu Saran Kerajaan Tubuh Lembaga Baja Dan Racun

JUMAAT, 10 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi menyaran kerajaan Persekutuan menubuhkan sebuah lembaga untuk mengurus hal ehwal baja dan racun.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Kementerian Perladangan dan Komoditi dapat mewujudkan jalinan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi tujuan penubuhan tersebut.

Mengambil maklum perkara itu, Timbalan Menteri Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Siti Aminah Aching berkata, pihak KPKM kini sedang mengkaji dengan teliti cadangan berkenaan dan kementeriannya juga bersedia untuk bekerjasama ke arah usaha itu.

Beliau berkata demikian dalam persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Roy sebelumnya juga turut bertanya mengenai usaha dan tindakan yang disediakan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi bagi menarik minat golongan muda di luar bandar untuk menerokai sektor agrikomoditi.

Datuk Siti Aminah menjawab, kementeriannya memberi galakan penuh kepada golongan muda untuk menceburi bidang-bidang pertanian dengan memberi penerangan yang jelas berhubung inisiatif kerajaan yang dapat menarik minat mereka.

“Untuk kita menggalakkan anak-anak muda kita menceburi bidang-bidang pertanian ini, kita memberikan mereka galakan dari segi penerangan-penerangan dan juga inisiatif-inisiatif oleh kerajaan supaya mereka ini berminat untuk menyertai bidang pertanian,”katanya. -Edisi UKAS

add comment