SABTU, 11 MAC 2023
KUCHING: Setiap individu perlu menyumbang dan melibatkan diri dalam usaha pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar.
Menurut Timbalan Menteri Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni, ia adalah bagi melindungi bumi agar sentiasa selamat didiami untuk generasi masa kini dan seterusnya.
“Manusia sudah pun sedar betapa pentingnya untuk kita memastikan kelestarian alam sekitar dijaga dengan sebaik-baiknya melalui beberapa strategi.
“Ini perlu sebelum planet kita dihancurkan dengan aktiviti manusia itu sendiri terutamanya dalam tempoh 200 tahun yang lalu dalam revolusi perindustrian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Sambutan Hari Bumi Tahun 2023 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan, pada Sabtu.
Tambah Dr. Hazland, sambutan Hari Bumi yang diraikan setiap 22 April di seluruh dunia adalah untuk menandakan komitmen manusia dalam meningkatkan tanggungjawab masing-masing sekaligus bertindak mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Dalam program sama, beliau turut menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Rekacipta Dari Bahan Buangan kepada para pemenang dan mengadakan lawatan ke tapak pameran.
Untuk rekod, Sambutan Hari Bumi Tahun 2023 yang bertemakan ‘Invest In Our Planet’ kali ini turut melibatkan golongan istimewa daripada beberapa pusat penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi pertandingan rekacipta berkenaan.
Turut hadir Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sarawak Hamzah Mohamad, Naib Presiden Kanan Kesihatan, Keselamatan & Alam Sekitar Sarawak Energy Berhad Marconi Madai dan tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS