Perkasakan Profesion Penolong Pegawai Perubatan

SABTU, 11 MAC 2023

SIBU: Kerajaan komited dalam memperkasakan profesion penolong pegawai perubatan seiring dengan perkembangan dan kemajuan dunia.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Micheal Tiang Ming Tee berkata, penolong pegawai perubatan perlu mengambil langkah yang sepatutnya untuk memperkasakan lagi profesion mereka seiringan dengan perkembangan semasa.

Jelasnya, teknologi perubatan dan kesihatan hari ini semakin pesat dan canggih dari segi penggunaan teknologi baru, ubat-ubatan moden, pendekatan rawatan lebih maju dan sebagainya.

“Begitu juga dengan evolusi penyakit, ada penyakit dan kuman baharu ditemui dari masa ke masa seperti Covid-19 dan varian-variannya,” katanya semasa berucap pada Malam Gala Hari Pembantu Perubatan 2023 Peringkat Negeri Sarawak di Hotel Kingwood Sibu pada Jumaat.

Dalam pada itu beliau berkata, ilmu dan kemahiran perlu ditingkatkan dan tindakan perlu lebih dinamik serta pendekatan perlu lebih berkesan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Pemikiran manusia juga semakin bijak dan mereka semakin pandai menilai. Kehendak dan harapan mereka sangat tinggi, mereka ingin rawatan dari kaedah dan remedi yang terbaik,” katanya lagi.

Micheal Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan juga berharap agar penolong pegawai perubatan mencurah bakti kepada masyarakat pada setiap masa tanpa tidak mengira di mana mereka bertugas.

Bersesuaian dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Bakti Mulia: Profesion Diperkasa, Masyarakat Sejahtera’, beliau kepada semua petugas untuk terus mencurahkan bakti yang mulia kepada masyarakat pada setiap masa.

“Ini termasuk di klinik-klinik kesihatan, hospital, pejabat kesihatan, di agensi-agensi kerajaan serta swasta. 

“Tidak mengira waktu, siang atau malam, anda sentiasa menjalankan kewajipan demi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.

Menurutnya, ketika Covid-19 melanda negara, jasa dan pergorbanan para barisan hadapan semua yang bertungkus lumus demi mengekang penularan penyakit ini dan melindungi masyarakat dari ancamannya sangatlah dihargai dan tidak akan dilupakan.

“Ada yang terpaksa hidup berjauhan dari keluarga dan hidup dalam keadaan yang tidak selesa, malahan nyawa sendiri menjadi taruhan.

“Ini juga merupakan bakti mulia yang telah anda semua berikan kepada masyarakat. Saya pasti masyarakat yang anda semua pernah bantu dan lindungi ini akan mengingati jasa dan pergorbanan anda kepada mereka,” ujarnya lagi. – EDISI UKAS

add comment