SABTU, 11 MAC 2023
SIBU: Sejumlah RM1.2 juta dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) diagihkan kepada 63 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong.
Dana RTP tersebut daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato Seri Tiong King Sing.
Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) cawangan Dudong Kaunselor Teo Boon Siew menyampaikan cek tersebut bagi pihak presiden parti mereka kepada para penerima yang terdiri daripada 48 buah rumah panjang dan kampung, 11 sekolah dan empat persatuan di pejabat PDP Dudong di sini pada Jumaat.
Dalam ucapan ringkasnya, Teo mengingatkan penerima supaya menggunakan dana tersebut untuk melaksanakan projek yang dipohon.
“Sebagai contoh, jika anda telah memohon dana untuk membina stor (di rumah panjang), pastikan dana itu digunakan untuk tujuan tersebut.
“Tolong jangan gunakan untuk tujuan lain seperti membaiki siling dan sebagainya.
“Gunakan ia untuk melaksanakan apa yang anda mohon pada asalnya,” jelasnya kepada penerima dana.
Selain itu, beliau juga meminta penerima untuk menyerahkan laporan progresif mengenai projek mereka termasuk gambar.
“Katakanlah sebagai contoh, anda sedang menggantikan bumbung rumah panjang anda, ambil gambar bumbung sebelum kerja dimulakan, kerja dalam proses dan setelah siap.
“Mereka (penerima) perlu menyerahkan laporan progresif mereka kepada pejabat PDP Dudong untuk tujuan pemantauan,” ujar Teo.
Antara yang hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kaunselor Amping Ranggau dan Bendahari Simon Wee.
Penyerahan RTP 2022 terbahagi kepada RM35,000 kepada JKKK RH Anthony Ampan untuk membina stor rumah panjang;
JKKK Upper Lanang-Taman Grand Height, Sibu untuk menaiktaraf gelanggang bola keranjang terbuka, Lorong Mantis Selatan 1 dan KRT Perumahan SEDC untuk membaikpulih dan menaiktaraf dewan terbuka.
Selain itu, RM30,000 pula diagih kepada PIBG SMK Durin untuk membina dewan terbuka, laluan berbumbung dan menurap tapak perhimpunan dan PIBG SK Sibu Jaya untuk membaikpulih dan menaiktaraf prasarana sekolah.
Manakala RM25,000 disalurkan kepada JKKK RH Don Bosco untuk menaiktaraf rumah panjang; JKKK RH Anjat Angkah untuk membaikpulih siling rumah panjang; JKKK RH Samy Linggang untuk peruntukan tambahan bagi pembinaan rumah panjang baharu; PIBG SK Sg Naman untuk menaiktaraf padang sekolah dan membina astaka baharu; PIBG SMK Sibu Jaya untuk membaikpulih dan menaiktaraf prasarana sekolah; JKKK RH Garing Jalak untuk membaikpulih atap spandek rumah panjang dan Persatuan Masyarakat Taman Grand Heights, Sibu, Sarawak untuk membina 1 taman rekreasi di Lorong Lada 14, Sibu.
Penerima dana berjumlah RM20,000 pula adalah JKKK RH Raymond Bandang untuk menambahbaik pondok memasak dan jambtan ke sungai; JKKK RH Binit Sanggau untuk membaikpulih siling rumah panjang; PIBG SK Nanga Pak Sibu untuk membaikpulih astaka SK Nanga Pak; JKKK RH Niru Dandi untuk membaikpulih dinding dan cermin tingkap; JKKK RH Norliza Umpang untuk menaiktaraf rumah panjang dan JKKK RH Monica Giri untuk membaikpulih gelanggang serbaguna.
Turut menerima dana RM20,000 adalah JKKK RH Anthony Miring untuk menukar atap rumah panjang; JKKK RH Empauk untuk membaikpulih rumah panjang; JKKK RH Jok Ingon untuk membina benteng tanah runtuh bawah rumah panjang; JKKK RH Akul Dagang untuk membina pintu gerbang berpagar dan tempat letak kenderaan rumah panjang; JKKK RH Dinnis Umpol untuk membaikpulih atap rumah panjang dan PIBG SK Ulu Sg Salim untuk membuat jalan berbumbung menuju ke pra sekolah serta membaikpulih tadahan air hujan. – EDISI UKAS