SABTU, 11 MAC 2023
BINTULU: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) membina tapak letak kereta sementara di Hospital Bintulu untuk kakitangan hospital dan orang awam kini hampir siap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, empat daripada lima tapak letak kereta iaitu dua tapak untuk kegunaan warga hospital dan dua lagi untuk kegunaan orang awam akan dibuka dalam masa terdekat selepas petak habis dicat.
Beliau semasa melakukan pemantauan mengejut ke hospital berkenaan pada Sabtu berkata, keseluruhan lima tapak sementara ini akan menampung 150 unit kereta bagi membantu mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta.
Johnny dalam pada itu berharap pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintulu melakukan perbincangan bersama dengan pihak hospital dalam membuat perancangan petak agar tapak dapat digunapakai dengan penuh berkesan mengikut kesesuaian di samping menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.
Katanya lagi, beliau akan terus mengadakan tinjauan ke tapak projek bagi memastikan kerja-kerja berjalan dengan lancar dan cepat.
Beliau memberitahu, kerja untuk meratakan tapak terakhir yang paling luas telah bermula dan dijangka akan menyediakan sekurang-kurangnya 50 tempat letak kereta kepada orang awam selepas kerja pembinaan siap sepenuhnya.-Edisi UKAS