Ahli Parlimen Batang Lupar Minta Kerajaan Pertimbang Tambah Mesin Perubatan Di Klinik Pedalaman

AHAD, 12 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan perlu mempertimbangkan untuk menambah perkhidmatan mesin perubatan di klinik-klinik kesihatan yang terletak di kawasan pedalaman Sarawak.

Membangkitkan isu tersebut, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli berkata, klinik-klinik berkenaan telah ketandusan mesin-mesin seperti dialisis untuk rawatan hemodialisis, x-ray dan sebagainya.

Perkara tersebut menurutnya amat menyukarkan penduduk-penduduk di luar bandar untuk mendapatkan rawatan.

“Ini menyukarkan penduduk-penduduk di kawasan luar bandar terutama untuk pergi ke pekan-pekan atau bandar-bandar terdekat, dan ia juga memakan masa yang lama dengan kos agak besar,”katanya ketika menyuarakan soalan berkaitan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni merangkap Ahli Parlimen Sibuti memberitahu, setakat ini proses untuk menambah mesin dialisis di Sarawak akan dijalankan secara berfasa dalam tahun 2023 sehingga 2024.

“Kita akui bahawa pusat-pusat hemodialisis ini agak kurang di kawasan pinggir bandar dan luar bandar Sarawak.

“Saya ambil contoh lawatan kerja saya ke Simunjan yang mana kita dapat melihat pesakit sejauh dari Sri Aman, terpaksa berulang alik dalam tempoh dua jam perjalanan hanya untuk mendapatkan rawatan hemodialisis, memandangkan Sri Aman tidak mempunyai cukup mesin dialisis,”jelasnya. -Edisi UKAS

add comment