Ceburi Industri Pengeluaran Jagung Bijian

AHAD, 12 MAC 2023

SPAOH: Penduduk di kawasan Betong yang mempunyai tanah sendiri diseru agar menceburi industri pengeluaran jagung bijian.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pengeluaran jagung bijian masih kurang di negeri ini di mana Sarawak masih bergantung dengan jagung bijian import dari luar yang digunakan untuk makanan ternakan seperti ayam dan lembu.

Ujarnya dengan menanam jagung bijian sendiri atau diusahakan secara tempatan dapat menjimatkan kos makanan haiwan ternakan.

Katanya, usaha-usaha ini dapat memperkasakan dan mempelbagaikan aktiviti ekonomi masyarakat setempat selain aktiviti ekonomi sedia ada sekali gus membantu menambahkan pendapatan mereka.

Menurut beliau lagi, kerajaan mempunyai pelbagai aspirasi untuk meningkatkan pendapatan rakyat seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030) namun usaha ini memerlukan iltizam dan penglibatan orang ramai agar ianya berjaya.

Beliau berkata demikian semasa Meninjau Kursus Pembuatan Kek Lapis Kukus anjuran Pergerakan Wanita PBB Cawangan Bukit Saban pada Sabtu.

Mengenai kursus tersebut, beliau berkata ia salah satu usaha menambah kemahiran golongan wanita agar mereka boleh menjana pendapatan untuk keluarga.

Dalam hal ini, beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak beriltizam akan berganding bahu bersama Ahli Parlimen Betong Dr. Richard Rapu untuk memajukan sektor pendidikan dan ekonomi di DUN Bukit Saban.

Seramai 200 wanita terdiri dari penduduk rumah panjang, Kampung Melayu Spaoh dan masyarakat Cina di Pekan Spaoh menyertai kursus yang dianjur dengan kerjasama Yahos School Of Skills, Kuching. – EDISI UKAS

add comment