AHAD, 12 MAC 2023
MUKAH: Kerajaan Sarawak terbuka dalam hal memproses pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, program NCR ini akan diteruskan.
“Pengukuran tanah ada kaedah tertentu termasuklah proses Native Territorial Domain (NTD).
“Kerajaan terbuka dalam hal pengukuran tanah NCR asalkan penuntutan NCR dapat membuktikan ianya sahih mengikut perundangan dan tuntutan itu mestilah munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera dan Cek Pampasan Tanah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian di Mukah baru-baru ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS) telah memainkan peranan yang baik dan cukup besar dalam menyelesaikan banyak masalah.
“Kebanyakan masalah yang timbul perlu diselesaikan di peringkat masyarakat atau komuniti dahulu sebelum agensi datang mengukur NCR terutamanya.
“Jadi, seluruh rakyat terutama di kawasan kita ini, kita mesti sentiasa bekerjasama kepada kerajaan untuk memudahkan segala urusan,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap apa yang diusahakan oleh kerajaan Sarawak akan sentiasa mendapat sambuatan yang baik.
Dalam majlis tersebut telah disampaikan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) Ulu Sikat Batang Mukah dan 57 cek pampasan tanah Projek Jalan Akses Alternatif ke Kampung Petanak Scheme, Mukah.
Turut hadir wakil Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib, Elizabeth Payong Jakong, Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Mukah Zurina Omar.-EDISI UKAS