Kerajaan Sarawak Lulus Peruntukan SPS Melalui RADDA

AHAD, 12 MAC 2023

TANJONG MANIS : Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) telah meluluskan peruntukan bagi Skim Penempatan Semula (SPS) untuk warga Tanjong Manis yang berasal dari luar dan ingin menetap di kawasan itu.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, inisiatif tersebut bakal merancakkan lagi pembangunan perumahan dengan kemudahan serba lengkap, terancang, teratur dan selesa. 

“Kebanyakan yang bekerja di Tanjung Manis ini, dari tahun 90an lagi sudah ada, sudah beranak-pinak, bercucu, bercicit pun sudah ada tapi masih menumpang di rumah pusaka.

“Ada mereka yang bersuara, mahu tinggal di Tanjong Manis sebagai kampung halaman mereka. Saya faham, jadi ianya sudah diluluskan dalam RADDA yang kita panggil sebagai Skim Pembesaran Kampung dan skim penempatan semula. 

“Ia layak untuk mana-mana warga Tanjong Manis ini yang berasal dari luar untuk membangunkan perumahan di Tanjong Manis ini, sudah pun diluluskan oleh jawatankuasa,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Hari Tanjong Manis sempena Sambutan Jubli Emas 50 Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu (PUSAKA) di Dewan IKS Tanjong Manis pada Sabtu. 

Jelasnya lagi, pelaksanaan SPS Tanjong Manis menyediakan lot-lot kediaman yang lengkap dengan kemudahan asas seperti jalan, bekalan air dan elektrik bagi menampung serta memenuhi keperluan rakyat berpendapatan rendah.

Ujarnya lagi, usaha ini adalah sejajar dengan pelan pembangunan jangka panjang Tanjong Manis yang sedang rancak dilaksanakan.

“Harapan kita, mana-mana mereka yang berminat untuk menetap dan bermastautin, InsyaAllah, kita akan bangunkan SPS supaya kita dapat sediakan lot dengan rumahnya sekali.

“Mereka dapat beli seperti apa yang berlaku macam di Darul Hana di Kuching dan Kemuyang Sibu dan sebagainya,” ujarnya. 

Datuk Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berharap semua projek yang dilaksanakan berjalan lancar tanpa ada isu berkaitan tanah yang menjadi penghalang kemajuan yang dijalankan.

Turut hadir Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abdul Wahab, Pengurus Besar PUSAKA Datu Hashim Bojet serta Ketua-ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat.-EDISI UKAS 

add comment