AHAD, 12 MAC 2023
KUCHING: Kesiapsiagaan, komitmen dan masa warga Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) dan jabatan di bawahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) dan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) yang turun padang adalah amat penting ketika bencana berlaku.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) YBhg. Datu Buckland Bangik berkata, rakyat yang terkesan berikutan bencana itu mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap perkhidmatan Kerajaan di saat berlakunya bencana.
“Kita sedang berada dalam musim Monsun Timur Laut (MTL) yang biasanya akan menyebabkan banjir dan tanah runtuh. Hujan yang berlarutan membimbangkan buat pihak-pihak yang bertanggungjawab.
“Kesiapsiagaan, komitmen dan masa warga Kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya yang turun padang adalah amat penting ketika ini.
“Rakyat kita ada ekspektasi yang tinggi terhadap perkhidmatan kita kepada mereka di saat-saat bencana,” katanya ketika berucap dalam Sesi Townhall KPWK di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini pada Jumaat.
Selain itu, Datu Buckland juga menekankan mengenai kepentingan untuk penjawat awam Sarawak memahami Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak.
Justeru, beliau menyarankan agar warga Kementerian giat dalam menyertai sesi dialog atau ceramah yang berkaitan dengan PCDS 2030 supaya lebih memahami secara mendalam.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan semangat ‘One Team SCS’ selaras dengan amanat Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki sebelum ini.
Katanya lagi, semua agensi, jabatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak berkuasa tempatan di negeri ini perlu berkerja sebagai satu pasukan demi menyampaikan perkhidmatan yang terbaik.
Terdahulu, Setiausaha Tetap KPWK Puan Noriah Haji Ahmad yang turut berucap memberitahu, ‘Sikap Kesegeraan dan Semangat Sepunya’ menjadi tema sesi townhall KPWK pada kali ini.
Ujar beliau, Kementerian serta jabatan-jabatan di bawahnya komited untuk menerapkan budaya kesegeraan dalam penyampaian perkhidmatan di semua peringkat.
“Nilai Bersama ini perlu diterapkan kepada semua warga KPWK, JKMS dan JWKS di mana apabila budaya kesegeraan dan kesepunyaan ini diamalkan, warga kementerian dan jabatan akan mengambil tindakan dengan kadar segera ke atas sesuatu isu terutamanya dalam menyampaikan perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat” jelasnya lagi.
Dalam program sama, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak Datu Dr. Chai Khin Chung, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak Datu Khirudin Drahman @ Hussaini, Residen Bahagian Kuching Tuan Fathi Haji Hambali dan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Negeri Sarawak PPJ. (PA) Abdul Wahab Rahim juga memberi perkongsian ringkas dan nasihat berkaitan tema berkenaan semasa sesi Towhall tersebut.
Hadir sama ialah Pengarah JKMS, Tuan Haji Adana Haji Jed.
Sesi Townhall KPWK adalah satu wadah untuk semua warga berjumpa, berinteraksi dan saling kenal-mengenali antara satu sama lain meskipun berbeza agensi dan jabatan bagi membolehkan kerjasama yang holistik. -Edisi UKAS