Perpaduan Kukuh Pacu Pembangunan Kawasan

AHAD, 12 MAC 2023

KANOWIT: Perpaduan yang kukuh dapat membantu menjamin pembangunan berterusan di sesuatu kawasan, demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong.

Katanya, kerajaan sedia ada bertanggungjawab menjaga kepentingan serta menjaga kebajikan semua kaum bagi memastikan perpaduan serta keharmonian semua kaum dipertahankan sekali gus proses pembangunan dapat dilaksana tanpa halangan.

Dalam hal ini, beliau menyeru semua rakyat di negeri ini agar meneruskan perpaduan dan keharmonian berbilang kaum bagi mengekalkan kesejahteraan dan kemakmuran di samping pelaksanaan pembangunan yang berterusan daripada kerajaan.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Jamuan Hari Jadi Tokong Fung Kung Ke-16 yang diadakan di Tokong Fung Kung, Nanga Sah Kanowit pada Jumaat.

Sementara itu, ADUN Ngemah Anyi Jana yang turut hadir memuji kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang jelas memberi keutamaan kepada semua kaum di negeri ini melalui penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

Malah katanya, kehadiran Pengarah UNIFOR Datu Jack Aman Luat pada program itu juga bertepatan dengan hasrat kerajaan Sarawak dalam mengiktiraf dan menghargai peranan agama-agama lain di Sarawak.

Menurut beliau, tiada alasan untuk rakyat negeri ini tidak mempraktikkan semangat perpaduan yang jitu dalam kehidupan mereka kerana nilai tersebut sudah lama terjalin dalam budaya kehidupan di negara ini.

“Semua kaum di negara ini diberi hak yang sama rata dan kerajaan sangat adil dengan semua kaum.

“Rakyat bebas beragama mengikut cara masing-masing. Apa yang penting, kita juga harus menghormati agama lain dan menjaga sensitiviti agama lain di negara ini.

“Cara ini akan memastikan perpaduan rakyat negara ini bertambah kukuh dan negara aman damai,” ujar Anyi.

Beliau turut berharap, tokong itu dapat memainkan peranannya kepada rakyat setempat yang beragama Buddha sambil menegaskan negara ini tiada masalah dalam soal beragama.

Pada majlis itu, Allan Siden dan Anyi turut menyampaikan sumbangan angpau kepada warga emas dan bersama-sama penduduk kaum Cina di tokong itu menikmati jamuan makan tengah hari.

Hadir sama Mantan ADUN Machan Dato Sri Gramong Juna, Pengarah UNIFOR Datu Jack Aman Luat dan Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Dr. Stephen William. – EDISI UKAS

add comment