Sabah & Sarawak Berhak Terima Peruntukan Khas, Bukan Kepentingan Politik

JUMAAT, 10 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa jumlah peruntukan yang diberi kepada negeri Sabah dan Sarawak bukan disebabkan kepentingan politik.

Menyangkal tohmahan sesetengah pihak yang tidak berasas, tegasnya, adalah tidak adil sama sekali untuk membandingkan peruntukan Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Menurut beliau, kedua-dua negeri tersebut berhak menerima peruntukan khas seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sudah tidak adil untuk membandingkan mana-mana negeri dengan Sabah dan Sarawak. Sabah Sarawak itu masuk bersama Malaysia itu kemudian. Kawasan-kawasan desa itu jauh ketinggalan, jauh lebih teruk daripada kawasan-kawasan miskin. Itu bukan soal kepentingan politik.

“Saya konsisten dalam hal ini yang mana kalau kita belanja sini RM10 juta, kita kena tambah Sabah dan Sarawak RM100 juta. Kita perlu lihat keperluan mereka di kawasan pedalaman,”jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.-Edisi UKAS

add comment