AHAD, 12 MAC 2023
KUCHING: Sarawak mampu melahirkan bintang dalam sukan tinju, menurut Presiden Tinju Malaysia Datuk Mohd Iran Zulkefli.
Katanya, Sarawak memiliki ramai petinju muda dan berbakat.
“Saya lihat prestasi terutama yang berumur 13 dan 18 tahun, mereka bermain amat baik dan gaya mereka main bukanlah di umur 17 ataupun 18 tahun tetapi nampak seperti level profesional.
“Mereka ada masa depan yang cerah kalau kita memberi peluang dan pendedahan yang secukupnya kepada mereka.
“Justeru, mereka boleh pergi ke level yang cukup tinggi dan kita nak bawa mereka ini ke luar negara seperti kejohanan-kejohanan remaja di luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penangguhan Pertandingan Kejohanan Tinju Remana Kebangsaan 2023 di Dataran Kubah pada Sabtu.
Tambahnya, sukan tinju Sarawak amat bersedia menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan datang.
“Saya rasa pasukan tinju Sarawak amat bersedia kalau dilihat dari segi kelengkapan dan pengurusan.
“Untuk makluman, dari segi pengurusan akan dibantu oleh Persatuan Tinju Malaysia yang akan diuruskan bersama Persatuan Tinju Sarawak selaku tuan rumah kelak,” ujarnya lagi.
Kejohanan Tinju Remaja Kebangsaan 2023 yang bermula 6 Mac dan berakhir 11 Mac disertai lebih 90 petinju yang bertanding dalam kategori remaja.
Kejohanan itu menyaksikan penyertaan petinju dari lima negeri iaitu Sarawak, Sabah, Perlis, Johor dan Terengganu.
Juara keseluruhan dimenangi oleh Sarawak yang mengumpul 10 pingat emas, 9 pingat perak dan 20 pingat gangsa.
Turut hadir Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak Dato Rahman Lariwoo, Setiuasaha Politik Premier Sarawak Abang Abdul Aziz Abang Draup dan Presiden Kelab Tinju Kuching Datuk DzulKarnian Ahmad.-EDISI UKAS