AHAD, 12 MAC 2023
MUKAH: Sukan bola sepak pada masa kini amat memerlukan individu-individu yang progresif, inovatif dan kreatif dalam memikirkan apa yang terbaik.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi, Sarawak memerlukan inovasi dan kreativiti daripada jurulatih-jurulatih akar umbi yang lahir dari pelbagai program seperti kursus Kejurulatihan Bola Sepak Lesen D FAM/FAS.
“Jurulatih perlu sentiasa proaktif dan kreatif memperlengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran semasa.
“Selain itu, mereka perlu inovatif dalam mencari peluang bagi mendedahkan diri kepada perkara-perkara baru, serta agresif dalam mempelajari ilmu untuk mempertingkatkan ilmu serta kemahiran.
“Saya yakin, pihak pengurusan bola sepak di negeri Sarawak, khususnya melalui Persatuan Bola Sepak Bahagian Mukah (MuFA) di Mukah ini sudah merancang akan mengadakan lebih banyak program serupa untuk mempertingkatkan lagi kursus dan program kejurulatihan seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demkian semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Lesen D FAM/FAS di Hotel Kingwood Mukah pada Jumaat.
Justeru beliau berharap agar objektif kursus yang telah dirancang dapat dicapai.
Seramai 19 orang bakal jurulatih berjaya menamatkan kurus yang diadakan selama enam hari bermula 5 hingga 10 Mac lepas.
Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak Abang Zulkarnain Abang Abdurahman, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Awang Putrayusrie Abang Reduan, Presiden MuFA Khairul Anuar Adeni, Pegawai Pendidikan Daerah Mukah Bahron Othman, Instruktor Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Lesen D FAM, Mukah 2023 Wan Jamak Wan Hassan dan Penghulu Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Lesen D FAM, Mukah 2023 Gilbert Cassedy Gawing.-EDISI UKAS