ISNIN, 13 MAC 2023
KANOWIT: Pusat Khidmat DUN Ngemah telah menganjurkan Bengkel Pelan Strategik DUN Ngemah pada 11 hingga 12 Mac leps bertempat di Dewan Majlis Daerah Kanowit.
Ia disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana dengan pesertanya merangkumi wakil daripada enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang terdapat di konstituensi tersebut.
Anyi dala ucapannya berkata, satu mini lab mengenai Agensi Pembangunan RASCOM (RASDA) akan diadakan pada 22 Mac ini di Dewan Serbaguna, Majlis Daerah Kanowit.
Justeru katanya, pelaksanaan bengkel ini adalah sebagai persediaan bagi mengumpul maklumat untuk menghadiri Lab RASDA bersama agensi kerajaan yang berkaitan.
Katanya, para peserta akan dibahagikan kepada enam kumpulan berasaskan enam PDM yang ada di mana setiap kumpulan akan membuat perancangan pembangunan meliputi topik pembangunan infrastruktur, pendidikan, ekonomi dan belia.
Sesi pembentangan bagi setiap kumpulan diadakan pada sesi terakhir bengkel.
Katanya, RASDA yang ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak meliputi kawasan Daerah Kanowit dan Daerah Selangau.
Dalam RASDA, beliau telah dilantik mengetuai AJK yang akan memantau perancangan pembangunan bagi tiga kawasan Skim Penempatan Semula (SPS) di DUN Ngemah iaitu SPS Nanga Jagau, SPS Nanga Ngungun dan SPS Nanga Tada. – EDISI UKAS