Gelandangan Empat Beranak Ditempatkan Di TTG Sibu

ISNIN, 13 MAC 2023

SIBU: Empat beranak berjaya diselamatkan dan ditempatkan di Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sibu setelah kehilangan tempat tinggal.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, keluarga terbabit iaitu Rose Akam, 53, bersama tiga anaknya yang berusia 23, 21 dan 12 tahun yang tinggal di Sibu Jaya telah kehilangan tempat tinggal selepas bapa mereka tergamak menjual rumah yang mereka diami.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) telah membantu empat beranak tersebut.

“Mereka terpaksa tinggal dalam hutan hampir setahun, sebelum TTG dimaklumkan tentang perkara itu. 

“Keluarga terbabit kini kita selamatkan dan ditempatkan di Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sibu,” katanya sambil memberitahu bahawa keluarga terbabit berasal dari Kanowit.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penutupan Train The Trainer Program Literasi Orang Dewasa dan Pelancaran Buku Panduan Aktiviti Literasi Orang Dewasa dan Blok HurufKu Sayang di Sibu pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata anak bongsu berusia 12 tahun tidak pernah bersekolah manakala dua abangnya bersekolah tetapi berhenti setakat darjah enam dan kini bekerja.

“Kita minta TTG Sibu menguruskan dengan ‘Destiny For Children’ (DFC) untuk kanak-kanak paling bongsu itu belajar di sana. Kemudian kita uruskan supaya dapat meneruskan pendidikan ke tingkatan satu. 

“Manakala dua abangnya sudah bekerja dan mereka boleh meneruskan pekerjaan sambil belajar membaca. 

“Saya minta ibunya ikut kelas tapi tidak mahu. Lepas ini kita harap beliau berubah fikiran. Sebab bukan mudah bagi seseorang yang sudah berusia dan tidak pandai membaca tampil belajar membaca, sebab ada perasaan malu,” jelasnya.

Dato Sri Fatimah menambah, pihaknya juga mendapati mereka yang terbabit ada memiliki sijil kelahiran tetapi tiada kad pengenalan diri.

“Sepatutnya umur 12 tahun sudah ada kad pengenalan tapi kita tak tahu apa sebabnya, sekarang kita mahu TTG uruskan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menyempurnakan Majlis Penutupan Bengkel Train The Trainer Literasi Orang Dewasa anjuran Pustaka Sarawak di sini dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sibu.

Bengkel tersebut telah berlangsung pada 11 dan 12 Mac melibatkan staf Pustaka Sarawak dari Kuching, Sibu dan Miri manakala tujuh penerima manfaat program terdiri daripada penghuni TTG Sibu.

Program Literasi Golongan Dewasa ini merupakan perkhidmatan baharu Pustaka Negeri Sarawak yang bertujuan meningkatkan tahap literasi golongan dewasa di Sarawak yang berumur 15 tahun ke atas yang tidak boleh membaca dan menulis.

Sebagai usaha untuk meningkatkan tahap literasi dan menyokong pembelajaran sepanjang hayat, pasukan Program Literasi Golongan Dewasa, Pustaka Negeri Sarawak telah membangunkan modul yang khusus untuk memberi pembelajaran 3M (Membaca, Menulis, Mengira) dan juga membantu meningkatkan taraf hidup untuk golongan dewasa.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Japri Bujang Masli, Setiausaha Tetap Pembangunan Wanita Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Jawatankuasa TTG Sarawak Noriah Ahmad, Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial Sarawak Dr. Zufar Yadi Brendan Abdullah, Ketua Sektor Perkhidmatan Perpustakaan Salina Zawawi dan Dr. Siti Zaliha Reduan Prof Madya Pendidikan Awal Kanak-kanak I-Cats University College.-EDISI UKAS

add comment