ISNIN, 13 MAC 2023
MUKAH: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) mensasarkan untuk melahirkan generasi baru yang menceburi bidang perniagaan, dan seterusnya mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain atau ‘Job Creator’.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat berkata kementeriannya telah memperkenalkan Sarawak Youth Creative Industry Fund (SYCIF) berbentuk geran yang menyokong belia yang bergiat aktif dalam industri kreatif seperti kesenian, kebudayaan, kreativiti dan inovasi.
Menurutnya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah memperkenalkan digital ekonomi dan ia sangat selari gaya hidup beliau hari ini yang memfokuskan kepada penggunaan digital dalam kehidupan atau perniagaan.
“Kita maklum bahawa ramai syarikat yang gulung tikar ataupun mengecilkan skala perniagaan dan banyak graduan kita yang tamat pengajian pada 2019, 2020 dan 2021. Mereka inilah yang kita galakkan untuk menjadi usahawan.
“Adalah menjadi harapan agar belia yang hadir pada hari ini dapat memanfaatkan segala maklumat dan pengalaman yang diterima untuk mempersiapkan diri menjadi usahawan yang cemerlang serta berdaya saing pada masa hadapan,” katanya berucap semasa program Youth Entrepreneurs Setup (YES) 2023 @ Mukah di Dewan Serbaguna Centexs Mukah pada Sabtu.
Dr Ripin dalam pada itu gembira dengan pelaksanaan program berkenaan yang memasuki tahun kedua kerana ianya memberi pendedahan kepada belia di Sarawak berkenaan
Keusahawanan sambil berharap lebih ramai usahawan belia dilahirkan di Mukah dan Sarawak secara amnya.
Ujarnya, penganjuran itu juga selari dengan visi MYSED iaitu ‘Ke Arah Belia Bertaraf Dunia, Sukan Untuk Semua dan Usahawan Belia Unggul’.
Youth Entrepreneurs Setup di Mukah ini merupakan lokasi kelapan untuk edisi yang pertama dan yang ketiga pada tahun ini selepas Lundu dan Samarahan.
Ia merupakan program teras MYSED di bawah Pembangunan Usahawan bagi mempromosikan keusahawanan dalam kalangan belia berusia dari 15 hingga 40 tahun di Sarawak.
Program turut diselitkan dengan sesi Townhall bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi dan ADUN Tellian Royston Valentine. – EDISI UKAS