PPS Dewan Kampung Sungai Bedaun, Dewan Sinaran Lumut Tempatkan 91 Mangsa Banjir

ISNIN, 13 MAC 2023

KUCHING: Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Kampung Sungai Bedaun dan Dewan Sinaran Lumut di sini masih menempatkan seramai 91 mangsa banjir setakat ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Dewan Kampung Sungai Bedaun menempatkan 60 mangsa manakala Dewan Sinaran Lumut seramai 31 mangsa.

Sehubungan itu, beliau yag juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menasihati orang ramai supaya bersiap sedia kerana musim hujan ini akan berpanjangan berpunca daripada perubahan iklim.

“Walaupun masa musim ini nampaknya berlaku di daerah Kuching dan Simunjan, tetapi kita tidak tahu pusingan angin yang baru ini mungkin berpunca daripada perubahan iklim, jadi kita mengarahkan semua untuk bersiap siaga.

“Saya nak bagi tahu kepada mereka yang pada tempat yang kerap berlaku banjir untuk sentiasa siap siaga supaya kalau ada berlaku dengan mengejut pihak tertentu dapat mengambil tindakan sewajarnya.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan ke PPS Dewan Kampung Sungai Bedaun dan Dewan Sinaran Lumut pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) di bahagian Utara Sarawak untuk bersiap sedia bagi memastikan jalan yang mengalami kerosakan atau pecah dapat dipulihkan serta merta.

“Kita akan pastikan semua agensi berada dalam mode bersedia, bukan sahaja untuk banjir tetapi juga untuk tanah runtuh, jalan pecah, putus dan lain-lain,” tegas beliau.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Rancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datu Buckland Bangik serta tetamu lain.-EDISI UKAS

add comment