Program Gotong Royong Anjuran NSJA Serlahkan Kepentingan Menjaga Kebersihan Pantai

ISNIN, 13 MAC 2023

MIRI: Penganjuran program Gotong Royong Mega Pembersihan Pantai Marina Miri disambut baik sebagai platform memberi kesedaran kepada orang awam mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan keindahan pantai.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang, program tersebut turut meningkatkan kesedaran tentang kepentingan persekitaran yang bersih untuk terus menarik pelancong ke bandar Miri.

“Lokasi tepi laut di Miri adalah unik dengan terdapatnya pelbagai pantai. Sekiranya kita menjaga pantai kita dengan baik, maka ia akan menarik lebih ramai pelancong ke sini.

“Dalam pada itu, kempen ini diharapkan dapat menarik perhatian masyarakat setempat tentang kepentingan menjaga kebersihan pantai sebagai usaha merancakkan lagi sektor pelancongan tempatan,” katanya ketika menyempurnakan program gotong royong tersebut di sini pada pagi Ahad.

Beliau yang juga Datuk Bandar Bandaraya Miri memberitahu, program dengan tema ‘Sayangi Pantai, Sayangi Miri’ anjuran Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) itu telah mendapat sambutan meriah dengan penyertaan seramai 19 agensi dan organisasi tempatan melibatkan 250 orang.

Sehubungan itu, Adam berkata, penganjuran program berkenaan juga selaras dengan komitmen Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Turut hadir, Presiden NSJA Andy Jong Wan Joon dan Bendahari NSJA merangkap Pengerusi Penganjur Chai Chon Chin. -EDISI UKAS

add comment