Sambutan Jubli Emas ke-50 Tanjong Manis Meriah

ISNIN, 13 MAC 2023

TANJONG MANIS: Sambutan Jubli Emas ke-50 Bandar Baru Tanjong Manis tahun ini disambut meriah dengan pelbagai program yang telah diatur sepanjang tiga hari bermula 10 hingga 12 Mac 2023.

Program sambutan Jubli Emas ini dimulakan dengan program Kesyukuran dan Ceramah Agama di Masjid Al-Firdaus, Tanjong Manis.

Majlis kesyukuran ini telah dihadiri oleh Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu (PUSAKA) Datu Hashim Bojet serta penduduk di sekitar Tanjong Manis.

Sepanjang tiga hari sambutan, pelbagai aktiviti telah diatur seperti ceramah, pertandingan bola keranjang, karaoke, Larian Hari Tanjong Manis, sukan rakyat dan pertandingan memancing.

Acara utama ialah majlis perasmian Hari Tanjong Manis diadakan pada 11 Mac di Padang Bolasepak Tanjong Manis.

Sambutan Jubli Emas ini cukup bermakna bagi  penduduk di Tanjong Manis dan sekitarnya iaitu Rajang, Jerijih dan Belawai di mana pembukaan Bandar Tanjong Manis membuka peluang pekerjaan, ekonomi dan pembangunan infrastruktur dengan cukup banyak.

Dalam pada itu, impak besar pembukaan Tanjong Manis sudah banyak dirasai dan mendatangkan hasil yang cukup besar penduduk kawasan luar bandar sejak 50 tahun yang lalu.

Sehubungan itu, pembangunan infrastruktur yang pesat ini telah membawa kepada pelaburan syarikat-syarikat besar dari luar negara dan juga domestik.

Tanjong Manis diletakkan di bawah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang mampu menjadi tunjang ekonomi di wilayah tengah Sarawak.-EDISI UKAS 

add comment