Usahakan Tanah Sendiri Secara Individu Atau Dengan Kerjasama Syarikat

ISNIN, 13 MAC 2023

SELANGAU: Pemilik tanah perlu memajukan tanah masing-masing sama ada secara individu mahupun bekerjasama dengan syarikat lain.

Menurut Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, ia adalah supaya mereka boleh menerima hasil daripada tanah yang dimiliki.

“Usaha memajukan tanah terutamanya tanah yang jauh dari akses jalan raya bersama pihak syarikat merupakan salah satu cara untuk meningkatkan sumber ekonomi luar bandar.

“Bagi tanah yang berdekatan dengan jalan raya pula, penduduk sendiri boleh melaksanakan usaha tersebut.

“Kita mesti memajukan tanah yang ada, kerana tanah yang tidak diusahakan tidak akan mendatangkan apa-apa hasil untuk kita,” katanya dalam Majlis Perasmian Ladang Kelapa Sawit Baharu Sungai Bawang di sini pada Sabtu.

Namun begitu beliau menegaskan, sebarang persetujuan dengan syarikat untuk memajukan tanah masing-masing mesti diikuti dengan dokumen perjanjian yang sah supaya sebarang pembayaran sama ada dalam bentuk komisen mahupun konsep sewa dilaksana berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui.

Difahamkan, ladang itu akan diusahakan dengan kerjasama syarikat Sarajoh Plantation Sdn Bhd.

Projek tanaman kelapa sawit ini merangkumi tanah hak adat bumiputera (NCR) seluas 401 hektar dengan 101 hektar telah dibersihkan untuk tujuan tersebut setakat ini melibatkan lebih 30 pemilik tanah.

Terdahulu ketika berucap, Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta menyeru syarikat itu untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada penduduk tempatan selain memberikan bayaran sewa kepada pemilik tanah.

“CSR ini antara lain boleh merangkumi bantuan pendidikan anak-anak untuk melanjutkan pelajaran masing-masing,” katanya. -EDISI UKAS

add comment