SELASA, 14 MAC 2023
SIBU: Seramai 58 keluarga kurang berkemampuan di sekitar Sibu menerima bakul makanan daripada Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak, Professor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, Program Amal yang dinamakan ‘Show You Care, Give A Share’ ini dianjurkan menerusi Hijrah Suri bersama Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan UTS dengan kerjasama Program Teknologi Makanan di bawah Pusat Pengajian Kejuruteraan dan Teknologi UTS.
“Ini merupakan program kali ketiga di dilaksanakan.
“Tujuan program ini adalah untuk menanamkan semangat sukarelawan dan juga untuk membantu masyarakat di sekeliling Sibu yang terjejas dengan masalah kos kehidupan yang telah meningkat pada masa ini.
“Kami menyediakan bekalan makanan. Pada awalnya kami menyasarkan memberi sumbangan itu kepada 50 keluarga kurang berkemampuan di sekitar Sibu.
“Bagaimanapun, kami berjaya melepasi sasaran dengan mengagihkan bantuan kepada 58 keluarga,” katanya ketika ditemui media semasa program itu di Hijrah Suri Sibu pada Isnin.
Tambahnya, setiap bakul makanan tersebut bernilai RM100 merangkumi keperluan asas makanan seperti beras dan makanan dalam tin.
Beliau juga berharap dengan penganjuran tersebut bukan sahaja dapat membantu masyarakat yang terjejas namun dapat memberi implikasi yang baik dalam membudayakan masyarakat sukarelawan dalam membantu golongan tersebut.
Sumbangan tersebut turut diagihkan kepada setiap rumah oleh para pelajar dan kakitangan UTS bagi meringankan beban keluarga tersebut di samping mendidik para pelajar untuk turut bertanggungjawab kepada masyarakat setelah mereka berjaya kelak.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Kamarul Anwar berkata program amal tersebut turut menyasarkan 18 keluarga daripada kalangan pelajar UTS sendiri dan selebihnya adalah orang luar.
“58 keluarga ini akan dihubungi dan diberi bantuan secara terus ke rumah mereka bermula hari ini 13 Mac sehingga 19 Mac ini supaya mereka tidak perlu datang ke sini.
“Ianya salah satu cara kita untuk merapatkan silaturrahim di antara pihak UTS dengan penduduk sekitar Sibu,” katanya lagi.
Penerima sumbangan tahun ini terdiri daripada siswa/siswi UTS terpilih yang telah dikenalpasti oleh pihak UTS sendiri dan juga keluarga asnaf dan anak yatim yang terpilih dari keluarga angkat Hijrah dan senarai penerima dari Baitulmal Sibu.
Dalam pada itu, Pengurus Hijrah Suri Khamsiah Yacob sangat bersyukur kerana dapat bersama-sama berkhidmat kepada masyarakat dalam membantu membuat pembungkusan bungkusan.
Turut hadir Pensyarah School of Business and Management (SBM) Kamarul Anwar Mohd Suhaimi dan Dean School of Business and Management (SBM) Prof. Dr .Winnie Wong Poh Ming.-EDISI UKAS