ADUN Bukit Goram & Timbalan KSU KKR Lawat Rumah Panjang Manuk Manchal

RABU, 15 MAC 2023

KAPIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat dan Timbalan Ketua Setiusaha (KSU) (Sektor Dasar Dan Pembangunan), Kementerian Kerja Raya (KKR), Dato Zahrul Hakim Abdullah bersama rombongan telah mengadakan lawatan di Rumah Panjang Manuk Manchal pada Selasa. 

Kedatangan rombongan disambut oleh penduduk rumah panjang Manuk Manchal dengan meriah walaupun penduduk rumah panjang hanya diberitahu dalam masa yang singkat sehaja mengenai lawatan tersebut. 

Dalam majlis tersebut, Jefferson yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) telah memberikan peruntukan sebanyak RM12,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Manuk Manchal bertujuan membeli cat bagi mengecat semula rumah panjang. 

Selain itu, peruntukan berjumlah RM4,000 juga disalurkan bagi membeli tirai baru untuk semua jendela ruai dan bilik rumah panjang.

Sehubungan itu, Jefferson memberi jaminan bahawa beliau akan memantau setiap peruntukan yang diberikan sebelum ini benar-benar memberikan kesenangan dan manfaat buat semua penduduk. 

“Sebagai wakil rakyat ADUN kawasan ini bersama Ahli Parlimen Kapit, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, kami akan tetap memberikan peruntukan atau projek-projek luar bandar yang amat diperlukan oleh rakyat seperti di kawasan Ulu Yong di sini,” ujarnya. 

Dalam pada itu, penduduk rumah panjang amat gembira di atas peruntukan tersebut demi keselesaan penduduk rumah panjang. 

Turut hadir Residen Bahagian Kapit Galong Luang, Timbalan Residen Bahagian Kapit Robert Liman, Pegawai Daerah Kapit Cerislago Sabut, Pegawai Daerah Bukit Mabong Calvin Ligong dan Setiausaha Politik Kepada Menteri Kerja Raya Malaysia Ambrose Abong.-EDISI UKAS 

add comment