RABU, 15 MAC 2023
BINTULU: Kitab Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W sejak 1400 tahun dahulu harus dikaji setiap yang tersurat dan tersirat di dalamnya.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, umat Islam terdahulu khususnya di zaman perkembangan ilmu yang pesat telah menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk untuk mendalami pelbagai cabang ilmu.
Sehubungan itu katanya, budaya penyelidikan berasaskan ilmu pengetahuan, kreativiti dan inovasi perlu diperluas dan diperkukuhkan dalam memenuhi aspirasi kerajaan ke arah pembentukan umat yang maju dan makmur.
“Ini akan menguatkan kedudukan orang Islam di mana-mana era, kerana ia menjadi satu asas untuk kita menilai diri kita dan memajukan diri kita dengan dunia yang penuh dengan cabaran.
“Oleh itu saya rasa bahawa Al-Quranlah menjadi bimbingan kita untuk meneruskan usaha mendalami ilmu dan seterusnya menjadi jaguh dalam kita menggunakan ilmu bagi mempertingkatkan syiar Islam,”jelasnya ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak Kali Ke-62 di Dewan Suarah Bintulu pada Rabu.
Dalam majlis itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang telah menyampaikan penghargaan daripada Majlis Islam Sarawak kepada mantan-mantan pemenang tilawah dan menghafaz Al-Quran yang berjaya mengharumkan nama negara khususnya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Para penerima masing-masing membawa pulang wang tunai beserta sijil, manakala pakej umrah diberikan kepada pemenang tempat pertama.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Ustaz Khalidi Ibrahim dan Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti.
Terdahulu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari serta isteri berpeluang melihat pameran di booth-booth yang dibuka oleh agensi berkaitan antaranya Islamic Information Centre (IIC), Jabatan Mufti Sarawak (JMS), Lembaga Tabung Haji (TH) Sarawak, Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) Cawangan Bintulu, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak dan Institut Kemahiran Malaysia Sarawak (IKMAS).-Edisi UKAS