RABU, 15 MAC 2023
MUKAH: Tapak Kala Dana Mukah sekali lagi menjadi tumpuan warga Mukah pada Sabtu lepas yang turut serta memeriahkan upacara tradisi kaum Melanau, Perarakan Kaul Serahang Kakan.
Kaul Serahang Kakan biasanya diadakan mengikut kalendar kaum Melanau Pagan yang menandakan berakhirnya musim tengkujuh yang telah mendatangkan kesan dalam kehidupan mereka sebagai petani dan nelayan di mana sungai merupakan nadi utama pendapatan mereka.
Jika dahulunya, Kaul Serahang Kakan diraikan oleh masyarakat Melanau Pagan bagi memuja roh-roh yang dipercayai menjadi sumber pendapatan mereka.
Upacara itu bermula seawal jam 6 pagi di mana penduduk kampung menelusuri Sungai Tellian menggunakan bot menuju ke Tapak Kaul Serahang Kakan, Pantai Kala Dana.
Mengikut tradisi, upacara Kaul Serahang Kakan tidak boleh dilakukan sembarangan di mana seorang Bapa Kaul yang telah dipilih akan menjadi perantara atau orang tengah yang akan menghubungkan penduduk di dunia nyata dengan ‘Ipok’, iaitu makhluk ghaib yang menjaga laut dan darat.
Menurut Bapa Kaul tahun 2023, Bonaventure Juana Lupuih, kaul merupakan tradisi turun temurun yang perlu dilakukan setiap tahun kerana ia merupakan adat dan budaya masyarakat Melanau.
Jelasnya, kaul merupakan upacara berdoa terutamanya bagi golongan nelayan dan petani agar dipermudahkan urusan mencari rezeki.
Bapa Kaul juga perlu memastikan segala pantang larang kaul dipatuhi penduduk termasuk menghukum mereka yang ingkar.
“Antara pantang larang adalah dilarang ke hutan dan menangkap ikan sehingga keesokan paginya setelah upacara kaul selesai dijalankan dan kebiasaannya selepas jam 12 tengah hari.
“Pantang larang ini mestilah dipatuhi oleh semua penduduk kerana kita meminta restu daripada ‘Ipok’ yang menjaga laut dan darat,” jelas Bonaventure yang juga Penghulu Kampung Tellian kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Selain itu, Bapa Kaul juga bertanggungjawab membawa ‘serahang’ yang berisi makanan wajib seperti sirih pinang, penyaram dan pulut kuning untuk menjamu ‘Ipok’.
Serahang mesti mengandungi tujuh jenis makanan dan tujuh piring di dalamnya tanpa makanan berdarah.
Menurut Bonaventure, penyediaan serahang tidak boleh dilakukan sembarangan malah beliau telah menganjurkan satu bengkel khusus untuk melatih orang ramai terutama generasi muda supaya tahu cara menghasilkannya.
Bagi mendapatkan keberkatan, Bapa Kaul akan menabur beras kuning di darat dan laut memohon perkara baik berlaku di kedua-dua tempat tersebut.
Pelengkap bagi ritual tersebut adalah makan secara beramai-ramai di mana penduduk kampung akan membawa jamuan masing-masing.
Mengikut pantang larang Melanau, makanan yang tidak habis tidak boleh dibawa balik dan mesti ditinggalkan di situ sahaja.
Walaupun dianggap ritual kuno, Kaul Serahang Kakan masih signifikan bagi kaum Melanau di mana ia terus diraikan setiap tahun oleh penduduk dari pelbagai latar belakang termasuk generasi baru yang mahu melihat dengan sendirinya warisan peninggalan nenek moyang mereka.
Sambutan tahun ini bertambah meriah meskipun dua tahun tidak diraikan akibat penularan wabak Covid-19 dengan penglibatan sama wakil-wakil rakyat di kawasan Mukah.
Menurut Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib, sambutan terhadap kaul kali ini di luar jangkaan kerana penduduk di kampung-kampung berdekatan di situ turut sama memeriahkannya.
“Kita sentiasa meningkatkan silaturahim supaya kita dapat memperkasakan lagi erti kaul ini. Saya harap ianya berterusan dan pada 26 April nanti akan diadakan Kaul Mukah 2023 di mana pelbagai aktiviti menarik disediakan.”
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi turut gembira kerana ramai generasi muda menyumbangkan tenaga bagi memastikan kelancaran program ini serta menghayati budaya warisan Melanau itu.
Katanya, Kaul Serahang Kakan menjadi permulaan Pesta Kaul yang akan diadakan 26hb April sehingga 1 Mei.
ADUN Tellian Royston Valentine turut berharap warisan budaya kaul dan Melanau ini terus dimartabatkan oleh generasi akan datang.
Katanya, sambutan kali ini amat luar biasa di mana ada pengunjung dari luar Mukah sanggup datang ke Pantai Kala Dana untuk melihat dan merakamkan warisan Melanau yang sungguh unik ini. – EDISI UKAS