Pembinaan Jalan Missing Link Pulau Bruit Siap Lebih Awal

RABU, 15 MAC 2023

DARO: Pembinaan jalan missing link sepanjang 1 kilometer dari Kampung Penuai ke Jalan Ladang di Pulau Bruit di sini telah siap sepenuhnya lebih awal.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Koporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata projek Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) menelan kos sebanyak RM2.599 juta itu sepatutnya siap pada Jun tahun ini tetapi kontraktor dapat menyiapkannya enam bulan lebih awal pada Disember tahun lepas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, jalan tersebut sangat penting bagi menghubungkan tujuh buah kampung di kawasan utara Pulau Bruit kepada jalan ladang yang telah siap sepenuhnya sebelum ini.

“Alhamdullillah hari ini kita menyaksikan penyerahan projek siap dari JKR iaitu sebuh jalan missing link yang menghubung jalan utara, jalan lama di Pulau Bruit hingga jalan ladang yang panjangnya 1km menelan belanja RM2.599 juta. Ini tidak termasuk kos pampasan.

“Projek ini sepatutnya siap pada bulan Jun tahun ini tetapi kontraktor dapat melaksanakan dengan lebih cepat, 6 bulan lebih awal iaitu siap pada bulan 12 yang lepas,” katanya kepada media pada Majlis Ringkas Serah Projek Siap RTP itu di Kampung Penuai, Pulau Bruit pada Rabu.

Datuk Abdullah menambah pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah memaklumkan kepada beliau mengenai perancangan serta jadual pelaksanaan pembinaan empat jambatan konkrit baru dua hala untuk menggantikan empat jambatan sehala yang menghubungkan jalan utama di utara Pulau Bruit.

Menurut beliau, projek tersebut akan menelan belanja sebanyak RM20 juta.

“Saya mohon ia dipercepatkan supaya dapat dilaksanakan pada tahun ini kerana saya difahamkan tempoh pelaksanaan jambatan ini mengambil masa dua tahun tapi saya harap dapat dilaksanakan dengan lebih cepat lagi,” katanya.

Selain itu, Datuk Abdullah juga berharap kerajaan pusat akan mengekalkan projek pembinaan jalan yang menghubungkan Pulau Bruit ke Sungai Nai dalam Rancangan Malaysia (RMK) seterusnya.

Katanya, peruntukan untuk projek berkenaan telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini.

Pada program sama, Datuk Abdullah turut diberi taklimat oleh JKR tentang pelaksanaan pembinaan Dewan Masyarakat baru Pulau Bruit yang berkapasiti 1000 orang dengan anggaran kos sebanyak RM8.3 juta.

Pada sebelah petang, Datuk Abdullah telah menyampaikan sumbangan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) beliau kepada jawatankuasa masjid dan surau di kawasan Semop bertempat di Masjid Darul Quddus, Kampung Betanak Daro.

Menurut Datuk Abdullah, sebanyak 16 masjid dan 10 surau di kawasannya termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Penuai menerima dana tersebut berjumlah keseluruhan RM113,000.

Katanya, sumbangan sebanyak RM48,000 kepada masjid dan RM15,000 kepada surau untuk menampung perbelanjaan mengadakan aktiviti sepanjang bulan Ramadan nanti.

Manakala sumbangan sebanyak RM50,000 kepada JKKK Kampung Penuai untuk tujuan bina baru tandas, platform dan awning Dewan Kampung Penuai.

Datuk Abdullah turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada semua pegawai masjid dan surau di seluruh kawasan Semop sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka.

Pada sebelah malam pula, Datuk Abdullah berkesempatan menyampaikan sumbangan dana MRP kepada tiga masjid dan tiga surau di Bintangor termasuk Jawatankuasa Pembinaan Surau Muhajirin, Taman Bintang berjumlah keseluruhan RM15,000.

Majlis penyerahan sumbangan itu diadakan di Dewan Dayang Bai Bintangor.

Senarai penerima dana MRP tersebut adalah Masjid Darul Taqwa Bintangor (RM3,000), Masjid Darul Ibadah Kpg Tg Bundong (RM3,000), Masjid Al-Falah Kpg Gemuan (RM3,000), Surau Darul Ikhsan, Jln Bidadari (RM1,500), Surau Abg Taib Bintangor (RM1,500), Surau Darul Taqwa Kpg Selemas (RM1,500) dan JK Pembinaan Surau Muhajirin, Taman Bintang (RM1,500). – EDISI UKAS

add comment