RABU, 15 MAC 2023
MIRI: Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka Peringkat Bahagian Miri akan diadakan 12 hingga 14 Mei 2023 bertempat di Stadium Tertutup Miri.
Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf memberitahu, bahagian Miri kini sedang membuat persiapan rapi untuk menjayakan program tersebut dengan kerjasama daripada jabatan dan agensi kerajaan Sarawak serta kerajaan Persekutuan di bawah Pentadbiran Bahagian Miri.
“Taklimat mengenai halatuju dan persediaan agensi yang terlibat bagi pelaksanaan Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka telah disampaikan kepada semua agensi terlibat serta persediaan berhubung pengisian-pengisian program di Miri disusun lebih awal.
“Semua agensi yang terlibat hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan program tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka Bahagian Miri Bil. 1/2023 di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Abdul Aziz yang juga Pengerusi Pengerusi Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka Peringkat Bahagian Miri turut meminta agar agensi yang berkaitan melakukan perbincangan bersama pihak urusetia selain memberikan idea yang bernas agar program yang dilaksanakan nanti dapat menjadi medan untuk masyarakat tempatan menghayati dan menjiwai sambutan ini.
Tambahnya, ia sekaligus memberikan imej yang baik selain menyediakan peluang untuk jabatan dan agensi mengetengahkan penyampaian perkhidmatan masing-masing kepada masyarakat.
Pelbagai acara menarik akan diadakan nanti, antaranya ialah Pameran Pembangunan Bahagian Miri, Pembukaan 20 Kaunter Perkhidmatan Kerajaan, Konvoi Kembara 60 Tahun Sarawak Merdeka, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, ‘Miri Got Talent’, Aktiviti Kecergasan, pertandingan e-sport, Persembahan Seni Bela Diri, Malam Kebudayaan, ’Miri Merdeka Run’, Autoshow dan Pertandingan Sukan Rakyat. -EDISI UKAS